Home » » Abu Hurairah r.a - Sahabat Penghafal Hadits Terbanyak

Abu Hurairah r.a - Sahabat Penghafal Hadits Terbanyak

Pada Isnin, 7 Januari 2008 | 4:57 PG

Kucing
Abu Hurairah, Bapa Kucing Kecil

Tokoh kita ini biasa berpuasa sunat tiga hari setiap awal bulan Qamariah (bulan Arab dalam tanggal Hijriyyah), mengisi malam harinya dengan membaca Al-Quran dan Solat Tahajjud. Akrab dengan kemiskinan, dia sering mengikatkan batu ke perutnya, bagi menahan lapar. Dalam sejarah, dia dikenali paling banyak meriwayatkan hadits. Dialah Bapa Kucing Kecil (maksudnya Abu Hurairah), begitu orang mengenalinya. Kenapa dia dikenali sebagai “Bapak Kucing”? Di waktu jahiliyah namanya dulu Abdu Syamsi ibn Shakhr Ad-Dausi, dan tatkala dia memeluk Islam, dia diberi nama oleh Rasul dengan Abdurrahman. Dia sangat penyayang kepada binatang dan mempunyai seekor kucing, yang selalu diberinya makan, digendongnya, dibersihkannya dan diberinya tempat. Kucing itu selalu menyertainya seolah-olah bayang bayangnya. Inilah sebabnya dia diberi gelar “Bapa Kucing”.

Penghafal Hadits Terbesar Sepanjang Masa

Kadangkala kepintaran manusia itu mempunyai akibat yang merugikan dirinya sendiri. Dan orang-orang yang mempunyai bakat-bakat istimewa, banyak yang harus membayar mahal, justeru pada waktu dia patut menerima ganjaran dan penghargaan.

Shahabat mulia Abu Hurairah r.a termasuk salah seorang dari mereka. Sungguh dia mempunyai bakat luar biasa dalam kemampuan dan kekuatan ingatan. Abu Hurairah r.a. mempunyai kelebihan dalam seni menangkap apa yang didengarnya, sedang ingatannya mempunyai keistimewaan dalam segi menghafal dan menyimpan. Didengarnya, ditampungnya lalu terpatri dalam ingatannya hingga dihafalkannya, hampir tak pemah dia lupakan satu kata atau satu huruf pun dari apa yang telah didengarinya, sekalipun usia bertambah dan masa pun telah berganti-ganti. Oleh kerana itulah, dia telah mewakafkan hidupnya untuk lebih banyak mendampingi Rasulullah S.a.w sehingga termasuk yang terbanyak menerima dan menghafal Hadits, serta meriwayatkannya.

Sewaktu datang masa pemalsu-pemalsu hadits yang dengan sengaja mencipta hadits-hadits bohong dan palsu, seolah-olah berasal dari Rasulullah S.a.w mereka memperalatkan nama Abu Hurairah dan menyalahgunakan kemasyhurannya dalam meriwayatkan Hadits dari Nabi S.a.w, hingga sering mereka mengeluarkan sebuah "hadits", dengan menggunakan kata-kata:  "Berkata Abu Hurairah…"

Dengan perbuatan ini hampir-hampir mereka menyebabkan kemasyhuran Abu Hurairah dan kedudukannya selaku penyampai Hadits dari Nabi S.a.w menjadi lamunan keragu-raguan dan tanda tanya, kalaulah tidak ada usaha dengan susah payah dan ketekunan yang luar biasa, serta banyak waktu yang telah di habiskan oleh tokoh-tokoh utama para ulama Hadits yang telah membaktikan hidup mereka untuk berhidmat kepada Hadits Nabi dan menyingkirkan setiap tambahan yang dimasukkan ke dalamnya.

Di sana Abu Hurairah r.a berhasil lepas dari jaringan kepalsuan dan penambahan-penambahan yang sengaja hendak diseludupkan oleh kaum perosak ke dalam Islam, dengan mengkambing-hitamkan Abu Hurairah dan membebankan dosa dan kejahatan mereka kepadanya.

Setiap anda mendengar muballigh atau penceramah atau khatib Jum’at mengatakan kalimat yang mengesankan dari Abu Hurairah r.a berkata dia, telah bersabda Rasulullah S.a.w.. "Saya katakan ketika anda mendengar nama ini dalam rangkaian kata tersebut, dan ketika anda banyak menjumpainya, ya banyak sekali dalam kitab-kitab Hadits, sirah, fiqih serta kitab-kitab Agama pada umumnya, maka diketahuilah bahawa anda sedang menemui suatu peribadi, antara sekian banyak peribadi yang paling gemar bergaul dengan Rasulullah dan mendengar sabdanya. Kerana itulah perbendaharaannya yang menakjubkan dalam hal Hadits dan pengarahan-pengarahan penuh hikmat yang dihafalkannya dari Nabi S.a.w jarang diperolehi bandingannya. Dan dengan bakat pemberian Tuhan yang dipunyainya beserta perbendaharaan Hadits tersebut, Abu Hurairah merupakan salah seorang yang paling mampu membawa anda ke hari-hari kehidupan Rasulullah S.a.w beserta para sahabatnya dan membawa anda meronda, asal anda beriman teguh dan berjiwa siap-sedia, mengitari pelusuk dan berbagai ufuk yang membuktikan kehebatan Muhammad S.a.w beserta shahabat-shahabatnya itu dan memberikan makna kepada kehidupan ini dan memimpinnya ke arah kesedaran dan fikiran sihat. Dan bila garis-garis yang anda hadapi ini telah menggerakkan kerinduan anda untuk mengetahui lebih dalam tentang Abu Hurairah dan mendengarkan beritanya, maka silakan anda memenuhi keinginan anda tersebut.

Dia adalah salah seorang yang menerima pantulan revolusi Islam, dengan segala perubahan mengagumkan yang diciptakannya. Dari orang upahan menjadi pemimpin atau majikan.

Dari seorang yang meminta-minta di tengah-tengah lautan manusia, menjadi imam dan ikutan! Dan dari seorang yang sujud di hadapan batu-batu yang disusun, menjadi orang yang beriman kepada Allah yang Maha Esa lagi Maha Perkasa. Inilah dia sekarang bercerita dan berkata: "Aku dibesarkan dalam keadaan yatim, dan pergi hijrah dalam keadaan miskin. Aku menerima upah sebagai pembantu pada Busrah binti Ghazwan demi untuk mengisi perutku! Akulah yang melayani keluarga itu bila mereka sedang menetap dan menuntun binatang tunggangannya bila sedang berpergian. Sekarang inilah aku, Allah telah menikahkanku dengan puteri Busrah, maka segala puji bagi Allah yang telah menjadikan Agama ini tiang penegak, dan menjadikan Abu Hurairah ikutan ummat!"

Islamnya Abu Hurairah

Dibandingkan dengan Nabi S.a.w, umurnya lebih muda sekitar 30 tahun. Dia lahir di Daus, sebuah desa miskin di padang pasir Yaman. Hidup di tengah kabilah Azad, dia sudah yatim sejak kecil, yang membantu ibunya menjadi penggembala kambing.

Dia datang kepada Nabi S.a.w di tahun yang ke tujuh Hijrah sewaktu beliau berada di Khaibar dia memeluk Islam kerana dorongan kecintaan dan kerinduan. Dan semenjak dia bertemu dengan Nabi S.a.w; dan berbai’at kepadanya, hampir-hampir dia tidak berpisah lagi daripadanya kecuali pada saat-saat waktu tidur. Begitulah berjalan selama masa empat tahun yang dilaluinya bersama Rasulullah S.a.w yakni sejak dia masuk Islam sampai wafatnya Nabi, pergi ke sisi Yang Maha Tinggi. Kita katakan: "Waktu yang empat tahun itu tak ubahnya bagai suatu usia manusia yang panjang lebar, penuh dengan segala yang baik, dari perkataan, sampai kepada perbuatan dan pendengaran!"

Dengan fitrahnya yang kuat, Abu Hurairah mendapat kesempatan yang besar yang memungkinkannya untuk memainkan peranan penting dalam berbakti kepada Agama Allah.

Pahlawan perang dikalangan shahabat, banyak. Ahli fiqih, juru da’wah dan para guru juga tidak sedikit. Tetapi lingkungan dan masyarakat memerlukan tulisan dan penulis. Di masa itu golongan manusia pada umumnya, bukan hanya terbatas pada bangsa Arab saja, tidak mementingkan tulis menulis. Dan tulis menulis itu belum lagi merupakan bukti kemajuan di masyarakat mana pun.

Bahkan Eropah sendiri juga demikian keadaannya sejak kurun waktu yang belum lama ini. Kebanyakan dari raja-rajanya, tidak terkecuali Charlemagne sebagai tokoh utamanya, adalah orang-orang yang buta huruf, tak tahu tulis baca, padahal menurut ukuran masa itu, mereka memiIiki kecerdasan dan kemampuan besar.

Kembali kita pada pembicaraan bermula untuk melihat Abu Hurairah, bagaimana dia dengan fitrahnya dapat menyelami keperluan masyarakat baru yang dibangun oleh Islam, iaitu keperluan akan orang-orang yang dapat melihat dan memelihara peninggalan dan ajaran-ajarannya. Pada waktu itu memang para shahabat yang mampu menulis, tetapi jumlah mereka sedikit sekali, apalagi sebahagiannya tak mempunyai kesempatan untuk mencatat Hadits-hadits yang diucapkan oleh Rasul.

Sebenarnya Abu Hurairah bukanlah seorang penulis, dia hanya seorang ahli hafal yang mahir, di samping memiliki kesempatan atau mampu mengadakan kesempatan yang diperlukan itu, kerana dia tak punya tanah yang akan digarap, dan tidak punya perniagaan yang akan diurus.

Dia pun menyedari bahawa dirinya termasuk orang yang masuk Islam terkebelakangan, maka dia bertekad untuk mengejar apa yang dia tertinggal, dengan cara mengikuti Rasul S.a.w terus menerus dan secara tetap menyertai majlisnya. Kemudian disedarinya pula adanya bakat pemberian Allah ini pada dirinya, berupa daya ingatannya yang luas dan kuat, serta semakin bertambah kuat, tajam dan luas lagi dengan do’a Rasul, agar pemilik bakat ini diberi Allah berkat.

Dia menyiapkan dirinya dan menggunakan bakat dan kemampuan kurnia Ilahi untuk memikul tanggung jawab dan memelihara peninggalan yang sangat penting ini dan mewariskannya kepada generasi kemudian.

Abu Hurairah bukan tergolong dalam barisan penulis, tetapi sebagaimana telah kita utarakan, dia adalah seorang yang terampil menghafal lagi kuat ingatan. Kerana dia tak punya tanah yang akan ditanami atau perniagaan yang akan menyibukkannya, dia tidak berpisah hengan Rasul, baik dalam perjalanan mahupun di kala menetap.

Begitulah ia mempermahirkan dirinya dan ketajaman daya ingatnya untuk menghafal Hadits-hadits Rasulullah S.a.w dan pengarahannya. Sewaktu Rasul telah pulang ke Rafiqul A'la (wafat), Abu Hurairah terus-menerus menyampaikan hadits-hadits, yang menyebabkan sebahagian shahabatnya merasa hairan sambil bertanya-tanya di dalam hati, dari mana datangnya hadits-hadits ini, bila didengarnya dan diendapkannya dalam ingatannya.

Abu Hurairah telah memberikan penjelasan untuk menghilangkan kecurigaan ini, dan menghapus keragu-raguan yang menulari putera shahabatnya, maka katanya: "Tuan-tuan telah mengatakan bahawa Abu Hurairah banyak sekali mengeluarkan hadits dari Nabi S.a.w. Dan tuan-tuan katakan pula orang-orang Muhajirin yang lebih dahulu daripadanya masuk Islam, tak ada menceritakan hadits-hadits itu? Ketahuilah, bahawa shahabat-sahahabatku orang-orang Muhajirin itu, sibuk dengan perdagangan mereka di pasar-pasar, sedang shahabat-shahabatku orang-orang Anshar sibuk dengan tanah pertanian mereka. Sedang aku adalah seorang miskin, yang paling banyak menyertai majlis Rasulullah, maka aku hadir sewaktu yang lain tidak hadir. Dan aku selalu ingat seandainya mereka lupa kerana kesibukan."

Dan Nabi S.a.w pernah berbicara kepada kami di suatu hari, kata beliau: "Siapa yang membentangkan serbannya hingga selesai pembicaraanku, kemudian dia meraihnya ke dirinya, maka dia takkan terlupa akan suatu pun dari apa yang telah didengarya dari padaku!"

Maka kuhamparkan kainku, lalu beliau berbicara kepadaku, kemudian kuraih kain itu ke diriku, dan demi Allah, tak ada suatu pun yang terlupa bagiku dari apa yang telah kudengar daripadanya! Demi Allah kalau tidaklah kerana adanya ayat di dalam Kitabullah nescaya tidak akan ku khabarkan kepada kalian sedikit jua pun! Ayat itu ialah:

"Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa-apa yang telah kami turunkan berupa keterangan-keterangan dan petunjuk, sesudah Kami nyatakan kepada manusia di dalam Kitab mereka itulah yang dikutuk oleh Allah dan dikutuk oleh para pengutuk (Malaikat-malaikat) !"  [Surah Al-Baqarah : Ayat 159]

Demikianlah Abu Hurairah menjelaskan rahsia kenapa hanya dia seorang diri yang banyak mengeluarkan riwayat dari Rasulullah S.a.w. 

Pertama: kerana dia melapangkan waktu untuk menyertai Nabi lebih banyak dari para shahabat lainnya.

Kedua: kerana dia memiliki daya ingatan yang kuat, yang telah diberi berkat oleh Rasul, hingga dia jadi semakin kuat.

Ketiga: dia menceritakannya bukan kerana dia gemar bercerita, tetapi kerana keyakinan bahawa menyebar-luaskan hadits-hadits ini, merupakan tanggung jawabnya terhadap Agama dan hidupnya. Kalau tidak dilakukannya bererti dia menyembunyikan kebaikan dan haq, dan termasuk orang yang lalai yang sudah tentu akan menerima hukuman kelalaiannya!

Oleh sebab itulah dia harus saja memberitakan, tak suatupun yang menghalanginya dan tak seorang pun boleh melarangnya, hingga pada suatu hari Amirul Mu’minin Umar r.a berkata kepadanya: "Hendaklah kamu hentikan menyampaikan berita dari Rasulullah! Bila tidak, maka akan kukembalikan kau ke tanah Daus.!" (iaitu tanah kaum dan keluarganya).

Tetapi larangan ini tidaklah mengandung suatu tuduhan bagi Abu Hurairah, hanyalah sebagai pengukuhan dari suatu pandangan yang dianut oleh Umar r.a, iaitu agar orang-orang Islam dalam jangka waktu tersebut, tidak membaca dan menghafalkan yang lain, kecuali Al-Quran sampai ia melekat dan mantap dalam hati sanubari dan fikiran.

Al-Quran adalah kitab suci Islam, Undang-undang Dasar dan kamus lengkapnya dan terlalu banyaknya cerita tentang Rasulullah S.a.w teristimewa lagi pada tahun-tahun menyusul wafatnya Nabi S.a.w, saat sedang dihimpunnya Al-Quran, dapat menyebabkan kesimpang-siuran dan campur-baur yang tidak berguna dan tak perlu terjadi!

Oleh kerana ini, Umar berpesan: "Sibukkanlah dirimu dengan Al-Quran kerana ia adalah kalam Allah." Dan katanya lagi: "Kurangilah olehmu meriwayatkan perihal Rasulullah kecuali yang mengenai amal perbuatannya!"

Dan sewaktu beliau mengutus Abu Musa al-Asy’ari ke Iraq dia berpesan kepadanya: "Sesungguhnya anda akan mendatangi suatu kaum yang dalam mesjid mereka terdengar bacaan Al-Quran seperti suara lebah. maka biarkanlah seperti itu dan jangan anda bimbangkan mereka dengan hadits-hadits, dan aku menjadi pendukung anda dalam hal ini!"

Al-Qur’an sudah dihimpun dengan jalan yang sangat cermat, hingga terjamin keasliannya tanpa dirembesi oleh hal-hal lainnya. Adapun hadits, maka Umar tidak dapat menjamin bebasnya dari pemalsuan atau perubahan atau diambilnya sebagai alat untuk mengada-ada terhadap Rasulullah S.A.W dan merugikan Agama Islam.

Abu Hurairah menghargai pandangan Umar, tetapi dia juga percaya terhadap dirinya dan teguh memenuhi amanat, hingga dia tidak mahu menyembunyikan suatu pun dari Hadits dan ilmu selama diyakininya bahawa menyembunyikannya adalah dosa dan kejahatan.

Demikianlah, setiap ada kesempatan untuk menumpahkan isi dadanya berupa Hadits yang pernah didengar dan ditangkapnya tetap saja disampaikan dan dikatakannya.

Hanya terdapat pula suatu hal yang merisaukan, yang menimbulkan kesulitan bagi Abu Hurairah ini, kerana seringnya dia bercerita dan banyaknya Haditsnya iaitu adanya tukang hadits yang lain yang menyebarkan Hadits-hadits dari Rasul S.a.w dengan menambah-nambah dan melebih-lebihkan hingga para shahabat tidak merasa puas terhadap sebahagian besar dari Hadits-haditsnya. Orang itu namanya Ka’ab al-Ahbaar, seorang Yahudi yang masuk Islam.

Pada suatu hari Marwan bin Hakam bermaksud menguji kemampuan menghafal dari Abu Hurairah r.a. Maka dipanggilnya dia dan dibawanya duduk bersamanya, lalu dimintanya untuk mengkhabarkan hadits-hadits dari Rasulullah S.a.w. Sementara itu disuruhnya penulisnya menuliskan apa yang diceritakan Abu Hurairah dari balik dinding. Sesudah berlalu satu tahun, dipanggilnya Abu Hurairah kembali dan dimintanya membacakan lagi Hadits-hadits yang dulu itu yang telah ditulis pembantunya. Ternyata tak ada yang terlupa oleh Abu Hurairah walau sepatah kata pun!

Dia berkata tentang dirinya, "Tak ada seorang pun dari sahabat-sahabat Rasul yang lebih banyak menghafal Hadits dari padaku, kecuali Abdullah bin 'Amr bin 'Ash, kerana dia pandai menuliskannya sedang aku tidak." Dan Imam Syafi’i mengemukakan pula pendapatnya tentang Abu Hurairah:  "Dia seorang yang paling banyak hafal di antara seluruh perawi Hadits sesamanya." Sementara Imam Bukhari menyatakan pula: "Ada lapan ratus orang atau lebih dari shahabat tabi’in dan ahli ilmu yang meriwayatkan Hadits dari Abu Hurairah."

Demikianlah Abu Hurairah tak ubah bagai suatu perpustakaan besar yang telah ditaqdirkan kelestarian dan keabadiannya.

Abu Hurairah termasuk orang ahli ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah, selalu melakukan ibadat bersama isterinya dan anak-anaknya semalam-malaman secara bergiliran; mula-mula dia berjaga sambil shalat sepertiga malam kemudian dilanjutkan oleh isterinya sepertiga malam dan sepertiganya lagi dimanfaatkan oleh puterinya. Dengan demikian, tak ada satu saat pun yang berlalu setiap malam di rumah Abu Hurairah, melainkan berlangsung di sana ibadat, dzikir dan shalat!

Ibunda Abu Hurairah Masuk Islam

Semenjak dia menganut Islam tak ada yang memberatkan dan menekan perasaan Abu Hurairah dari berbagai persoalan hidupnya ini, kecuali satu masalah yang hampir menyebabkannya tak dapat memejamkan mata. Masalah itu ialah mengenai ibunya, kerana waktu itu dia menolak untuk masuk Islam. Bukan hanya sampai di sana saja, bahkan dia menyakitkan perasaannya dengan memburuk-burukkan Rasulullah S.a.w di depannya.

Pada suatu hari ibunya itu kembali mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan bagi Abu Hurairah r.a tentang Rasulullah S.a.w, hingga dia tidak dapat menahan tangisnya kerana sedihnya, lalu dia pergi ke masjid Rasul. Marilah kita dengarkan dia menceritakan lanjutan berita kejadian itu sebagai berikut:

"Sambil menangis aku datang kepada Rasulullah, lalu kataku: "Ya Rasulallah, aku telah meminta ibuku masuk Islam, ajakanku itu ditolaknya, dan hari ini aku pun baru saja, memintanya masuk Islam. Sebagai jawapan dia malah mengeluarkan kata-kata yang tak kusukai terhadap diri anda. Kerananya mohon anda do’akan kepada Allah kiranya ibuku itu ditunjuki-Nya kepada Islam."

Maka Rasulullah S.a.w berdo’a: "Ya Allah tunjukilah ibu Abu Hurairah!"

Aku pun berlari mendapatkan ibuku untuk menyampaikan khabar gembira tentang do’a Rasulullah itu. Sewaktu sampai di muka pintu, ku dapati pintu itu terkunci. Dari luar kedengaran bunyi gemercik air, dan suara ibu memanggilku: "Hai Abu Hurairah, tunggulah ditempatmu itu!"

Di waktu ibu keluar dia memakai baju kurungnya, dan membalutkan selendangnya sambil mengucapkan: "Asyhadu alla ilaha illallah, wa asyhadu anna Muhammadan ‘abduhu wa Rasuluh."

Aku pun segera berlari menemui Rasulullah S.a.w sambil menangis kerana gembira, sebagaimana dahulu aku menangis kerana berduka, dan kataku padanya: "Kusampaikan khabar suka ya RasulAllah, bahawa Allah telah mengabulkan do’a anda, Allah telah menunjuki ibuku ke dalam Islam." Kemudian kataku pula: "Ya RasulAllah, mohon anda do’akan kepada Allah, agar aku dan ibuku dikasihi oleh orang-orang Mu’min, baik laki-laki mahupun perempuan!" Maka Rasul berdo’a: "Ya Allah, mohon engkau jadikan hambu-Mu ini beserta ibunya dikasihi oleh sekalian orang-orang Mumin, laki-laki dan perempuan!"

Akrab Dengan Kemiskinan

Kerana keinginannya memusatkan perhatian untuk menyertai Rasul S.a.w dia pernah menderita kepedihan lapar yang jarang diderita orang lain. Dan pernah dia menceritakan kepada kita bagaimana rasa lapar telah menggigit-gigit perutnya, maka diikatkannya batu dengan serbannya ke perut dan ditekannya ulu hatinya dengan kedua tangannya, lalu rebahlah dia di masjid rambil menggeliat-geliat kesakitan hingga sebahagian sahabat menyangkanya sawan, padahal sama sekali bukan!

Suatu kali, dengan masih mengikatkan batu ke perutnya, dia duduk di pinggir jalan, tempat orang biasanya lalu-lalang. Dilihatnya Abu Bakr as-Siddiq r.a melintas. Lalu dia minta dibacakan satu ayat Al-Quran. "Aku bertanya begitu supaya dia mengajakku ikut, memberiku pekerjaan," tutur Abu Hurairah. Tapi Abu Bakr cuma membacakan ayat, lantas berlalu.

Dilihatnya Umar ibn Khattab r.a. "Tolong ajari aku ayat Al-Quran," kata Abu Hurairah. Kembali dia harus menelan ludah kekecewaan kerana Umar berbuat hal yang sama.

Tak lama kemudian Nabi S.a.w lewat. Nabi tersenyum. "Beliau tahu apa isi hati saya. Beliau boleh membaca raut muka saya secara tepat," tutur Abu Hurairah.

"Ya Aba Hurairah!" panggil Nabi.

"Labbaik, ya Rasulullah!"

"Ikutlah aku!"

Beliau mengajak Abu Hurairah ke rumahnya. Di dalam rumah didapati sebekas susu. “Dari mana susu ini?” tanya Rasulullah S.a.w. Beliau diberi tahu bahawa seseorang telah memberikan susu itu.

"Ya Aba Hurairah!"

"Labbaik, Ya Rasulullah!"

"Tolong panggilkan Ahli Shuffah,” kata Nabi. Susu tadi lalu dibahagikan kepada Ahli Shuffah, termasuk Abu Hurairah. Sejak itulah, Abu Hurairah mengabdi kepada Rasulullah S.a.w, bergabung dengan Ahli Shuffah di tempat berteduh masjid.

Sepulang dari Perang Khaibar, Nabi melakukan perluasan terhadap Masjid Nabawi, iaitu ke arah barat dengan menambah tiga tiang lagi. Abu Hurairah terlibat pula dalam renovasi ini. Ketika dilihatnya Nabi S.a.w turut mengangkat batu, dia meminta agar beliau menyerahkan batu itu kepadanya. Nabi S.a.w menolak seraya bersabda, "Tiada kehidupan sebenarnya, melainkan kehidupan akhirat."

Dari Buruh Menjadi Majikan

Abu Hurairah r.a sangat mencintai Nabi S.a.w. Sampai-sampai dia memilih dipukul Nabi kerana melakukan kekeliruan berbanding mendapatkan makanan yang enak. "Kerana Nabi S.a.w menjanjikan akan memberi syafaat kepada orang yang pernah merasa disakitinya secara sengaja atau tidak," katanya.

Begitu cintanya kepada Rasulullah S.a.w sehingga siapa pun yang dicintai Nabi, dia ikut mencintainya. Misalnya, dia suka mencium Hasan dan Husain, kerana melihat Rasulullah S.a.w mencium kedua cucunya itu.

Ada cerita menarik berkenaan kehidupan Abu Hurairah dan masyarakat Islam zaman itu. Meskipun Abu Hurairah seorang papa, salah seorang majikannya yang lumayan kaya menikahkan puterinya, Bisrah binti Gazwan, dengan beliau. Ini menunjukkan betapa Islam telah mengubah persepsi orang dari membezakan kelas kepada persamaan. Abu Hurairah dipandang mulia kerana kealiman dan kesalihannya. Perilaku Islamik telah memuliakannya, lebih dari kemuliaan pada masa jahiliah yang memandang kebangsawanan dan kekayaan sebagai ukuran kemuliaan.

Sejak menikah, Abu Hurairah membahagikan malamnya kepada tiga bahagian: untuk membaca Al-Quran, untuk tidur dan keluarga, dan untuk mengulang-ulang hadis. Dia dan keluarganya meskipun kemudian menjadi orang berada, tetap hidup sederhana. Dia suka bersedekah, menjamu tamu, bahkan menyedekahkan rumahnya di Madinah untuk pembantu-pembantunya.

Tugas penting pernah dipikulnya dari Rasulullah S.a.w. Iaitu ketika dia bersama Al-Ala ibn Abdillah Al-Hadrami diutus berdakwah ke Bahrain. Kebelakangan ini, dia juga bersama Quddamah diutus menarik jizyah (pajak) ke Bahrain, sambil membawa surat ke Amir Al-Munzir ibn Sawa At-Tamimi.

Abu Hurairah, Amir Bahrain

Abu Hurairah hidup sebagai seorang ahli ibadah dan seorang mujahid, tak pernah dia ketinggalan dalam perang, dan tidak pula dari ibadat. Di zaman Umar bin Khatthab r.a dia diangkat sebagai Amir untuk daerah Bahrain, sedang Umar sebagaimana kita ketahui adalah seorang yang sangat keras dan teliti terhadap pegawai-pegawai yang dilantiknya. Apabila dia melantik seseorang sedang dia mempunyai dua pasang pakaian maka sewaktu meninggalkan jawatannya nanti haruslah orang itu hanya mempunyai dua pasang pakaian juga, malah lebih utama kalau dia hanya memiliki satu pasang saja! Apabila waktu meninggalkan jabatan itu terdapat tanda-tanda kekayaan, maka dia takkan luput dari interogasi Umar, sekalipun kekayaan itu berasal dari jalan halal yang dibolehkan syara’! Suatu dunia lain, yang diisi oleh Umar dengan hal-hal luar biasa dan mengagumkan. Rupanya sewaktu Abu Hurairah memangku jawatan sebagai gabenor Bahrain dia telah menyimpan harta yang berasal dari sumber yang halal. Hal ini diketahui oleh Umar, maka dia pun dipanggilnya datang ke Madinah. Dan mari kita dengarkan Abu Hurairah, memaparkan soal jawab yang berlangsung antaranya dengan Amirul Mu’minin Umar: Kata Umar: "Hai musuh Allah dan musuh kitab-Nya, apa engkau telah mencuri harta Allah?" Jawabku; "Aku bukan musuh Allah dan tidak pula musuh kitab-Nya, hanya aku menjadi musuh orang yang memusuhi keduanya dan aku bukanlah orang yang mencuri harta Allah!"  "Dari mana kau perolehi sepuluh ribu itu?"   "Kuda kepunyaanku beranak-pinak dan pemberian orang yang datang."  "Kembalikan harta itu ke perbendaharaan negara (baitul maal)!"

Abu Hurairah menyerahkan hartanya itu kepada Umar, kemudian dia mengangkat tangannya ke arah langit sambil berdo’a: "Ya Allah, ampunilah Amirul Mu’minin."

Tak selang beberapa lamanya. Umar memanggil Abu Hurairah kembali dan menawarkan jawatan kepadanya di wilayah baru. Tapi ditolaknya dan dimintanya maaf kerana tak dapat menerimanya. Kata Umar kepadanya: "Kenapa, apa sebabnya?"

Abu Hurairah mengemukakan lima alasan, "Agar kehormatanku tidak sampai tercela, hartaku tidak dirampas, punggungku tidak dipukul, aku takut menghukum tanpa ilmu, dan bicara tanpa belas kasihan!" Dia memilih tinggal di Madinah, menjadi warga biasa yang memperlihatkan kesetiaan kepada Umar, dan para pemimpin sesudahnya.

Tatkala kediaman Amirul Mukminin Ustman ibn Affan r.a dikepung pemberontak, dalam peristiwa yang dikenal sebagai al-fitnatul kubra (bencana besar), Abu Hurairah bersama 700 orang Muhajirin dan Anshar tampil mengawal rumah tersebut. Meskipun dalam posisi siap tempur, Khalifah melarang pengikut setianya itu memerangi kaum pemberontak.

Pada masa Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib r.a, Abu Hurairah ditawarkan menjadi gabenor di Madinah. Dia menolak. Ketika terjadi pertemuan antara Khalifah Ali dan lawannya, Muawwiyah ibn Abi Sufyan, dia bersikap neutral dan menghindari fitnah. Sampai kemudian Muawwiyah berkuasa, Abu Hurairah bersedia menjadi gabenor di Madinah. Tapi versi lain mengatakan, Marwan ibn Hakam lah yang menunjuk Abu Hurairah sebagai pembantunya di pejabat gabenor Madinah.

Akhir Hayat Abu Hurairah

Pada suatu hari sangatlah rindu Abu Hurairah r.a hendak bertemu dengan Allah. Selagi orang-orang yang mengunjunginya mendo’akannya cepat sembuh dari sakitnya, dia sendiri berulang-ulang memohon kepada Allah dengan berkata: "Ya Allah, sesungguhnya aku telah sangat rindu hendak bertemu dengan-Mu. Semoga Engkau pun demikian!" Di Kota Penuh Cahaya (Al-Madinatul Munawwarah), dia menghembuskan nafas terakhir pada 57 atau 58 H. (676-678 M.) dalam usia 78 tahun. Meninggalkan warisan yang sangat berharga, yakni hadis-hadis Nabi, bak butiran-butiran ratna mutu manikam, yang jumlahnya 5,374 hadits.

Di sekeliling orang-orang shaleh penghuni pandam pekuburan Baqi’, di tempat yang beroleh berkah, di sana lah jasadnya dibaringkan! Dan sementara orang-orang yang mengiringkan jenazahnya kembali dari perkuburan, mulut dan lidah mereka tiada henti-hentinya membaca Hadits yang disampaikan Abu Hurairah kepada mereka dari Rasul yang mulia.

[Petikan dari buku Rijal Haular Rasul - Khalid Muh.Khalid]


Ustaz Muhammad Nazmi Karim: Kisah Ibu Abu Hurairah r.a memeluk Islam

0 comments:

Catat Ulasan