Home » » Kisah Nabi Musa a.s dengan Khidhir a.s

Kisah Nabi Musa a.s dengan Khidhir a.s

Pada Khamis, 2 Jun 2011 | 2:17 PG

Pengenalan 

Kisah Nabi Musa a.s dengan Khidhir a.s yang disebutkan dalam surat Al-Kahfi termasuk kisah yang utama. Nabi Musa pergi dari kotanya untuk mencari ilmu ketika Tuhannya memberitahu kepadanya bahawa di bumi ini terdapat seseorang yang lebih alim darinya. Dalam Sunnah Nabi S.a.w terdapat tambahan keterangan dari apa yang disebutkan oleh Al-Qur'an. Rasulullah S.a.w menyampaikan kepada kita sebab perginya Nabi Musa a.s dari kotanya, sebagaimana beliau menyampaikan kepada kita tentang nama hamba soleh yang dicari-cari Nabi Musa, dan sebahagian dari ucapannya dan keadaannya.

Nash Hadits

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dalam Shahih keduanya, dari Said ibnu Jubair. Dia bercerita, "Aku pernah berkata kepada Ibnu Abbas, bahawa Nauf Al-Bikali mengatakan bahawa Musa, sahabat Khidhir tersebut, bukanlah Musa dari sahabat Bani Israil. Maka Ibnu Abbas pun berkata, "Musuh Allah itu telah berdusta. "Ubay ibnu Ka'ab pernah mendengar Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda, "Sesungguhnya Musa pernah berdiri memberikan ceramah kepada Bani Israil, lalu dia ditanya, 'Siapakah orang yang paling banyak ilmunya?' Dia menjawab, 'Aku.' Maka Allah mencelanya, kerana dia tidak mengembalikan ilmu kepada-Nya. Lalu Allah mewahyukan kepadanya, "Sesungguhnya Aku mempunyai seorang hamba yang berada di tempat pertemuan dua laut, yang dia lebih berilmu daripada dirimu." Musa berkata, 'Ya Tuhanku, bagaimana boleh aku menemuinya?' Dia berfirman, "Pergilah dengan membawa seekor ikan, dan letakkan ia di dalam keranjang. Di mana ikan itu hilang, maka di situlah Khidhir itu berada."

Maka Musa mengambil seekor ikan dan meletakkannya di dalam keranjang. Lalu dia pergi bersama seorang pemuda bernama Yusya' bin Nun. Ketika keduanya mendatangi batu, keduanya merebahkan kepala mereka dan tertidur. Ikan itu menggelepar di dalam keranjang, hingga keluar darinya dan jatuh ke laut. "Kemudian ikan itu mengambil jalannya ke laut." [Surah Al-Kahfi : 61]. Allah Subhanahu wa Ta'ala menahan jalannya air dari ikan itu, maka jadilah air itu seperti lingkaran. Kemudian sahabat Musa (Yusya') terbangun dan lupa memberitahu kepada Musa tentang ikan itu. Mereka terus berjalan menempuh perjalanan siang dan malam.

Pada keesokan harinya, Musa berkata kepada pemuda itu, "Bawalah kemari makanan kita, sesungguhnya kita telah merasa letih kerana perjalanan kita ini." [Surah Al-Kahfi : 62]. Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam menyebutkan bahawa Musa tidak merasa keletihan sehingga dia berjaya mencapai tempat yang ditunjukkan oleh Allah Taala. Maka sahabatnya itu berkata, "Tahukah engkau, ketika kita mencari tempat berlindung di batu tadi, maka sesungguhnya aku telah lupa (menceritakan tentang) ikan itu dan tidak ada yang menjadikanku lupa untuk menceritakannya kecuali syaitan, dan ikan itu mengambil jalannya ke laut dengan cara yang aneh sekali." [Surah Al-Kahfi : 63]. Beliau berkata, "Ikan itu mendapat jalan keluar, tetapi bagi Musa dan sahabatnya, yang demikian itu merupakan kejadian yang luar biasa." Maka Musa berkata kepadanya, "Itulah tempat yang kita cari." Lalu keduanya kembali mengikuti jejak mereka semula."  [Surah Al-Kahfi : 64]

Lebih lanjut, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam menceritakan, "Kemudian mereka berdua kembali lagi mengikuti jejak mereka semula hingga akhirnya sampai ke kawasan berbatu. Tiba-tiba dia mendapati seseorang yang mengenakan pakaian rapi. Musa mengucapkan salam kepadanya. Khidhir pun berkata, "Sesungguhnya aku mendapatkan kedamaian di negerimu ini." "Aku Musa," katanya. Khidhir bertanya, "Musa pemimpin Bani Israil?"

Musa menjawab, "Ya. Aku datang kepadamu supaya engkau mengajarkan kepadaku apa yang engkau ketahui." Khidhir menjawab, 'Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sanggup sabar bersamaku [Surah Al-Kahfi : 67]. Hai Musa, aku mempunyai ilmu yang diberikan dari ilmu Allah. Dia mengajar hal-hal yang tidak engkau ketahui. Dan engkau pun mempunyai ilmu Allah yang Dia ajarkan kepadamu yang tidak kumiliki." Maka Nabi Musa berkata, "Insya Allah engkau akan mendapati aku sebagai seorang yang sabar, dan aku tidak akan menentangmu dalam suatu urusan pun." [Surah Al-Kahfi : 69]. Maka Khidhir berkata kepada Nabi Musa, "Janganlah kamu menanyakan kepadaku tentang sesuatu apa pun, sampai aku sendiri yang menjelaskannya kepadamu."  [Surah Al-Kahfi : 70]

Maka berjalanlah keduanya. Mereka berjalan menelusuri pantai, hingga akhirnya sebuah perahu melintasi keduanya. Lalu keduanya meminta agar pemiliknya mahu menghantarnya. Mereka mengetahui bahawa orang itu adalah Khidhir. Mereka pun membawa keduanya tanpa upah. Ketika keduanya menaiki perahu itu, Musa merasa terkejut kerana Khidhir melubangi perahu tersebut dengan kapak. Musa pun berkata, "Orang-orang itu telah membawa kita tanpa upah, tetapi engkau malah melubangi perahu mereka. Mengapa engkau membocorkannya, yang akibatnya engkau menenggelamkan penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu kesalahan yang besar." [Surah Al-Kahfi : 71] Khidhir berkata, 'Bukankah aku telah berkata, sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sabar bersama denganku.' [Surah Al-Kahfi : 72]. Musa berkata, "Janganlah engkau menghukumku kerana kelupaanku dan janganlah engkau membebaniku dengan sesuatu kesulitan dalam urusanku." [Surah Al-Kahfi : 73]

Kemudian Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda, "Yang pertama itu dilakukan Musa kerana lupa. Lalu ada burung hinggap di tepi perahu dan minum sekali atau dua kali penanda aras ke laut. Maka Khidhir berkata kepada Musa, "Jika ilmuku dan ilmumu berbanding dengan ilmu Allah, maka ilmu kita itu tidak lain hanyalah seperti air yang diambil oleh burung itu dengan paruhnya dari laut."

Setelah itu keduanya keluar dari perahu. Apabila keduanya sedang berjalan di tepi laut, Khidhir melihat seorang anak yang tengah bermain dengan anak-anak lain. Maka Khidhir menarik rambut anak itu dengan tangannya dan membunuhnya. Musa berkata kepada Khidhir, "Mengapa engkau membunuh jiwa yang bersih, bukan kerana dia membunuh orang lain? Sesungguhnya engkau telah melakukan sesuatu yang mungkar." Khidhir berkata, "Bukankah sudah kukatakan kepadamu, bahawa sesungguhnya kamu tidak akan dapat sabar bersamaku?" [Surah Al-Kahfi : 74-75]. Yang kedua ini lebih parah dari yang pertama.

Musa berkata, "Jika aku bertanya kepadamu tentang sesuatu sesudah dua kali ini, maka janganlah engkau memperbolehkan diriku menyertaimu, sesungguhnya engkau telah cukup memberikan uzur kepadaku." [Surah Al-Kahfi : 76]. Maka keduanya berjalan hingga ketika mereka sampai kepada penduduk suatu negeri, mereka meminta dijamu kepada penduduk negeri itu, tetapi penduduk negeri itu tidak mahu menjamu mereka. Kemudian keduanya mendapati dalam negeri itu sebuah dinding rumah yang hampir roboh." [Surah Al-Kahfi : 77]

Lalu Khidhir berdiri dan, Khidhir menegakkan dinding itu dengan tangannya. Selanjutnya Musa berkata, "Kita telah mendatangi suatu kaum tetapi mereka tidak mahu menjamu kita dan tidak pula menyambut kita, jikalau engkau mahu, nescaya engkau dapat mengambil upah untuk itu." [Surah Al-Kahfi : 77] Khidhir berkata, "Inilah perpisahan antara diriku dan dirimu, aku akan memberitahu kepadamu tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat bersabar terhadapnya."  [Surah Al-Kahfi : 78]

Kemudian Rasulullah S.a.w bersabda, "Kami ingin Musa boleh bersabar sehingga Allah menceritakan kepada kita tentang keduanya." 

Said ibnu Jubair menceritakan, Ibnu Abbas membaca: "Dan di hadapan mereka terdapat seorang raja yang merampas tiap-tiap bahtera yang baik dengan cara yang tidak benar." [Surah Al-Kahfi : 79]. Dia juga membaca seperti ini, "Dan adapun anak itu, maka kedua orang tuanya adalah mukmin." [Surah Al-Kahfi : 80]

Dalam riwayat lain dalam Shahihain dari Said ibnu Jubair berkata, "Kami sedang bersama Ibnu Abbas di rumahnya. Dia berkata, "Bertanyalah kalian kepadaku." Aku berkata, "Wahai Ibnu Abbas, semoga Allah menjadikanku sebagai penggantimu. Di Kufah terdapat seorang tukang cerita yang bernama Nauf. Dia mendakwa bahawa dia bukan Musa Bani Israil. Adapun Amru, dia berkata kepadaku, "Musuh Allah telah dusta."  Adapun Ya'la, dia berkata kepadaku, Ibnu Abbas berkata, Ubay ibnu Ka'ab menyampaikan kepadaku, dia berkata, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda, "Musa 'Alaihi Salam, suatu hari dia menasihati kaumnya sampai ketika air mata bercucuran dan hati menjadi lunak, dia pulang. Seorang laki-laki menyusulnya, dia berkata kepada Musa, "Wahai Rasulullah, apakah di bumi ini terdapat orang yang lebih alim darimu?" Musa menjawab, "Tidak ada." Maka Allah menyalahkan Musa yang tidak mengembalikan ilmu kepada Allah. Dikatakan kepada Musa, "Ada yang lebih alim darimu." Musa bertanya, "Ya Tuhanku, di mana?" Allah menjawab, "Di tempat bertemunya dua laut."

Musa berkata, "Ya Tuhanku, jadikanlah untukku sebuah tanda yang boleh aku kenal." Amru berkata kepadaku bahawa Allah menjawab, "Di tempat di mana ikan meninggalkanmu." Ya'la berkata kepadaku bahawa Allah menjawab, "Ambillah ikan yang telah mati yang boleh ditiupkan ruh kepadanya. "Maka Musa membawa ikan dan meletakkannya di dalam keranjang. Musa berkata kepada pelayannya, "Aku tidak membebanimu apa pun kecuali kamu harus memberitahu jika ikan itu lepas darimu." Pelayan menjawab, "Bukan beban berat." Itulah firman Allah Azza wa Jalla, "Dan ingatlah ketika Musa berkata kepada muridnya." [Surah Al-Kahfi : 60]. Dan murid tersebut adalah Yusya' bin Nun. Riwayat ini bukan dari Said.

Rasulullah S.a.w meneruskan, "Manakala Musa berteduh di bawah batu besar di tempat Tsaryan (yang basah), tiba-tiba ikan itu memberontak, semasa Musa sedang tidur. Maka muridnya berkata, "Aku tidak akan membangunkannya." Tetapi ketika Musa bangun, dia lupa memberitahu kepadanya. Ikan itu memberontak sehingga melompat ke laut. Allah menahan jalannya air dari ikan itu sehingga bekasnya seolah-olah pada batu. "Amru berkata kepadaku bahawa bekasnya seolah-olah pada batu. Amru melingkarkan antara kedua ibu jarinya dan kedua telunjuknya.

"Sesungguhnya kita telah merasa letih kerana perjalanan kita ini." [Surah Al-Kahfi : 62]. Dia berkata, "Allah telah menghentikan keletihan darimu." Riwayat ini bukan dari Said. Yusya' memberitahu Musa, lalu keduanya pun kembali dan mencari Khidhir. Usman ibnu Abu Sulaiman berkata kepadaku, "Khidhir duduk di atas permaidani hijau di tengah laut." Said ibnu Jubair berkata, "Berselimut kain, salah satu hujungnya di bawah kakinya dan ujung lain di bawah kepalanya." Musa mengucapkan salam kepadanya. Khidhir membuka wajahnya dan berkata, "Apakah di negerimu ada keselamatan? Siapa kamu?" Musa menjawab, "Aku adalah Musa."

Khidhir bertanya, "Musa Bani Israil?" Musa menjawab, "Ya." Khidhir bertanya, "Apa keperluanmu?" Musa menjawab, "Aku datang agar engkau mengajarkan kepadaku ilmu yang benar di antara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu." Khidhir berkata, "Apakah kamu belum merasa cukup? Taurat ada di tangan dan wahyu datang kepadamu. Wahai Musa, sesungguhnya aku mempunyai ilmu yang tidak sepatutnya kamu ketahui, dan sesungguhnya kamu mempunyai ilmu yang tidak sepatutnya aku ketahui. "Lalu datanglah seekor burung yang mengambil air laut dengan paruhnya. Khidhir berkata, "Demi Allah, ilmuku dan ilmumu berbanding dengan ilmu Allah hanyalah seperti apa yang diambil burung itu dari laut dengan paruhnya."

Ketika keduanya naik perahu dan mendapati bot-bot kecil yang menyeberangkan penghuni pantai ini ke pantai itu, mereka mengenalinya. Mereka berkata, "Hamba Allah yang soleh." Dia berkata, "Kami bertanya kepada Said, "Khidhir?" Dia menjawab, "Ya." Mereka berkata, "Kami tidak meminta tambang." Maka Khidhir melubanginya dan menancapkan pasak kepadanya.

Musa berkata, "Mengapa kamu melubangi perahu itu yang mengakibatkan para penumpangnya akan tenggelam. Sesungguhnya kamu telah mendatangkan kesalahan besar." [Surah Al-Kahfi : 71]. Mujahid berkata, "Kemungkaran." Khidhir berkata, "Bukankah kamu telah berkata, "Sesungguhnya kamu sekali-kali akan sabar bersama denganku." [Surah Al-Kahfi : 72]. Yang pertama dilakukan oleh Musa kerana lupa, yang kedua kerana syarat, dan yang ketiga adalah kesengajaan. Musa berkata, "Janganlah kamu menghukumku kerana kelupaanku dan janganlah kamu membebaniku dengan kesulitan dalam urusanku." [Surah Al-Kahfi : 73]

Keduanya bertemu dengan seorang anak, lalu Khidhir membunuhnya. Ya'la berkata, Said berkata, "Dia mendapati beberapa kanak-kanak sedang bermain, maka Khidhir mengambil seorang anak yang kafir dan tampan, lalu dia membaringkannya dan menyembelihnya dengan pisau." Musa berkata, "Mengapa kamu membunuh jiwa yang bersih bukan kerana dia membunuh orang lain?"  [Surah Al-Kahfi : 74]

Dia belum melakukan ingkar sumpah. Dan Ibnu Abbas membaca زكية dengan زاكية yang Muslim, seperti membaca غلاما زكيا

"Lalu keduanya berjalan, hingga tatkala keduanya sampai kepada penduduk suatu negeri, mereka meminta dijamu oleh penduduk negeri itu, tetapi penduduk negeri itu menolak menjamu mereka. Kemudian keduanya mendapati dalam negeri itu dinding rumah yang hampir roboh. Khidhir pun menegakkan dinding itu."  [Surah Al-Kahfi : 77]. Said memberi isyarat dengan tangannya begini, dia mengangkat tangannya hingga lurus.

Ya'la berkata, "Menurutku Said berkata, "Maka dia mengusapnya dengan tangannya dan dia pun lurus."  Musa berkata, "Jika kamu mahu, nescaya kamu mengambil upah untuk itu." [Surah Al-Kahfi : 78] 

"Kerana di hadapan mereka." [Surah Al-Kahfi : 79], yakni di depan mereka. Ibnu Abbas membacanya, "أمامهم ملك". Mereka mendakwa bukan dari Said, bahawa dia adalah Hudad bin Budad, dan anak yang dibunuh (menurut mereka) bernama Jaisur.

"Ada seorang raja yang merampas setiap perahu." [Surah Al-Kahfi : 79]. Maka aku ingin jika dia melaluinya, dia tidak mengambilnya kerana cacatnya. Jika mereka telah melalui, maka mereka boleh memperbaiki dan memanfaatkannya. Di kalangan mereka ada yang mengatakan, "Sumpallah dengan botol." Ada yang mengatakan, dengan aspal.

"Kedua orang tua anak itu adalah orang-orang yang beriman" [Surah Al-Kahfi : 80], dan anak itu adalah kafir.

"Dan kami bimbang dia akan mendorong kedua orang tuanya kepada kesesatan dan kekufuran." [Surah Al-Kahfi : 80]. Yakni, kecintaan kedua orang tuanya kepadanya membuat keduanya mengikutinya dalam agamanya. 

"Dan kami menghendaki supaya Tuhan mereka mengganti bagi mereka dengan anak yang lebih baik kesuciannya dari anak itu." [Surah Al-Kahfi : 81]. Ini sebagai jawaban atas ucapannya, "Mengapa kamu membunuh jiwa yang bersih." [Surah Al-Kahfi : 74]

"Dan lebih berkasih sayang kepada kedua orang tuanya." [Surah Al-Kahfi : 81]. Keduanya lebih sayang kepadanya daripada kepada anak pertama yang dibunuh Khidhir. Selain Said mendakwa bahawa keduanya diberi pengganti anak perempuan. Adapun Dawud ibnu Ashim, dia berkata dari beberapa orang bahawa penggantinya adalah anak perempuan.

Dalam riwayat ketiga, dari Ubaidullah bin Abdillah bin Utbah bin Mas'ud dari Ibnu Abbas bahawa Ibnu Abbas berdebat dengan Al-Hur ibnu Qais ibnu Hish Al-Fazari tentang sahabat karib Musa. Ubay ibnu Ka'ab melewati keduanya, lalu Ibnu Abbas memanggilnya dan berkata, "Aku dan temanku ini berdebat tentang sahabat karib Musa, di mana Musa bertanya tentang jalan untuk bertemu dengannya. Apakah kamu mendengar Rasulullah S.a.w memperkatakannya?"

Ubay menjawab, "Ya, aku telah mendengar Nabi menyinggungnya. Beliau bersabda, "Ketika Musa sedang bersama pembesar-pembesar Bani Israil, dia didatangi oleh seorang laki-laki. Dia berkata, "Apakah kamu mengetahui seseorang yang lebih tahu darimu?" Musa menjawab, "Tidak." Maka Allah mewahyukan kepada Musa, "Ada, iaitu hamba Kami bernama Khidhir." Maka Musa bertanya bagaimana menemuinya. Allah memberinya satu tanda, iaitu seekor ikan.  

Dikatakan kepada Musa, "Jika kamu kehilangan ikan, maka kembalilah, kerana kamu akan menemuinya." Musa pun menelusuri jejak ikan di laut. Pembantu Musa berkata kepadanya, "Tahukah kami ketika kita mencari tempat berlindung di batu tadi, maka sesungguhnya aku lupa menceritakan tentang ikan itu dan tidak ada yang melupakanku untuk menceritakannya kecuali syaitan." [Surah Al Kahfi : 63]. Musa menjawab, "Itulah tempat yang kita cari. Lalu keduanya kembali mencari jejak mereka semula." [Surah Al-Kahfi : 64]. Keduanya bertemu Khidhir dan apa yang terjadi pada keduanya telah diceritakan oleh Allah dalam Kitab-Nya. 

Ketiga hadits di atas adalah riwayat Bukhari.

Takhrij Hadits 

Diriwayatkan oleh Bukhari dalam Kitabul Ilmi dari Ibnu Abbas dari Ubay bin Kaab, keterangan tentang perginya Musa ke laut kepada Khidhir, 1/168, no. 74. 

Diriwayatkan dalam bab pergi untuk mencari ilmu, 1/174, no. 78; dalam bab apa yang dianjurkan kepada seorang alim jika dia ditanya siapa manusia paling alim, maka hendaknya dia menyerahkan ilmunya kepada Allah, 1/217, no. 122.

Diriwayatkan dalam Kitabul Ijarah, bab jika menyewa seorang pegawai untuk meluruskan tembok, 4 / 445 , no . 2267 .

Dalam Kitabusy Syuruth, bab syarat-syarat kepada orang dengan ucapan, 5 / 326 , no . 2276 .

Dalam Kitab Bad'il Khalqi, bab sifat iblis dan bala tenteranya, 6 / 326 , no . 3278. Dalam Kitab Ahaditsil Anbiya ' , bab hadith Khidhir dengan Musa, 6 / 431 , no . 3400 , 3401.

Dalam Kitab Tafsir bab ' Ketika Musa berkata kepada muridnya ' ( QS. Al Kahfi : 60 ) , 8 / 409 , no . 4725 . Dalam bab ' Ketika keduanya sampai di pertemuan antara dua laut ' ( QS. Al Kahfi : 61 ) , 8 / 422 , no . 4726 . Dalam bab ' Dia berkata , ' Tahukah kamu ketika kita berteduh di batu itu ' ( QS. Al Kahfi : 63 ) , 8 / 422 , no . 4727.

Diriwayatkan dalam Kitabul Aiman ​​wan Nudzur , bab jika menyalahi sumpah kerana lupa , 11 / 550 , no . 6672.

Dalam Kitabut Tauhid , bab masyi'ah dan Iradah , 13 / 448 , no . 448.

Diriwayatkan oleh Muslim dalam Shahih-nya dari Ibnu Abbas dalam Kitabul Fadhail, bab di antara keutamaan Khidhir , 4 / 1847 , no . 2380.

Lihat Syarah Shahih Muslim An-Nawawi , 5 / 518.

Penjelasan Hadits

Suatu hari Nabi Musa a.s berpidato di hadapan Bani Israil. Nabi Musa a.s menyampaikan nasihat yang melembutkan hati dan membuat air mata bercucuran. Begitulah para Nabi manakala mereka memberi nasihat. Nasihat mereka melembutkan hati yang keras dan menyentap jiwa yang malas. Hal itu kerana hati dan jiwa mereka dipenuhi dengan rasa takut dan cinta kepada Allah. Mereka diberi kemampuan untuk menjelaskan dan dikurniakan banyak ilmu.

Ramai orang ketika mendengar pidato para pemidato ulung menjadi kagum mereka dengan apa yang mereka dengar. Lebih-lebih lagi jika mereka adalah Nabi-Nabi Allah. Setelah Musa a.s menyelesaikan khutbahnya, dia diikuti oleh seorang laki-laki (Nabi Yusya' bin Nun) yang meninggalkan tempat perkumpulan. Laki-laki ini bertanya kepada Musa, "Apakah di bumi ini terdapat orang yang lebih alim darimu?" Musa menjawab, "Tidak."

Nabi Musa adalah salah seorang Rasul yang agung. Dia termasuk dari lima Rasul Ulul Azmi. Nabi Musa menduduki di tempat ketiga di antara para Nabi dan Rasul. Ibrahim berada di urutan kedua dan Muhammad di urutan pertama. Nabi Musa adalah Kalimullah (Nabi yang berbicara dengan Allah). Allah memberinya Taurat yang mengandungi cahaya dan petunjuk. Allah mengajarnya banyak ilmu. Akan tetapi, berapa pun tingginya ilmu seorang hamba, dia tetap harus bertawadhu kepada Tuhannya. Jika dia ditanya dengan soalan seperti itu, semestinya dia menjawab, "Wallahu a'lam." Berapa pun ilmu yang dimiliki oleh seseorang tetaplah sedikit berbanding dengan ilmu Allah.

Allah mencela Nabi Musa a.s yang tidak mengembalikan ilmu kepada-Nya. Dia mewahyukan kepadanya, "Ada, ada yang lebih alim darimu. Aku mempunyai seorang hamba di tempat bertemunya dua laut. Dia mempunyai ilmu yang tidak kamu miliki." Setelah Nabi Musa mengetahui perkara itu, dia pun bertekad ingin menemui hamba soleh tersebut untuk menimba ilmu darinya.

Nabi Musa memohon kepada Allah agar menunjukkan tempat keberadaannya. Allah memberitahu bahawa dia berada di tempat bertemunya dua laut. Allah memerintahkan Nabi Musa supaya membawa bersamanya ikan yang telah mati. Nabi Musa akan menemui hamba soleh itu di tempat di mana Allah menghidupkan ikan itu. Nabi Musa berjalan dengan seorang pemuda temannya menuju tempat bertemunya dua laut. Dia meminta kepada si pemuda agar memberitahu jika ikan itu hidup. Keduanya sampai di sebuah batu di pantai. Nabi Musa berbaring di balik batu untuk berehat dari letihnya perjalanan. Di sinilah ikan itu bergerak-gerak di dalam keranjang. Dengan kudrat Allah dia hidup, melompat ke laut, membuat jalan yang kelihatan jelas. Maka airnya berbentuk seperti pusaran, dan Allah menahan laju air dari ikan tersebut.

Si pemuda melihat ikan yang hidup itu, tetapi dia tidak menyampaikannya kepada Nabi Musa a.s kerana dia sedang tidur. Setelah terbangun, dia lupa menyampaikan tentang ikan tersebut kepada Nabi Musa. Pemuda itu belum teringat kecuali setelah keduanya pergi dari tempat itu. Pada hari itu dan pada malam itu keduanya terus berjalan. Pada hari berikutnya, ketika waktu makan tengah hari telah tiba, Nabi Musa meminta pemuda itu untuk menghidangkan makan tengah hari mereka berdua. Makanan mengingatkan pemuda itu kepada ikan, maka dia pun menyampaikan tentang ikan tersebut kepada Nabi Musa. Ikan itu telah lompat pada saat keduanya berehat di kawasan berbatu kelmarin. Perjalanan keduanya cukup mudah. Keduanya melalui tempat yang ditentukan, hingga keletihan.

Nabi Musa dan pembantunya berjalan balik menyusuri jejak semula yang telah mereka lalui, untuk menuju ke kawasan berbatu tempat mereka berehat. Laki-laki yang dicari oleh Nabi Musa berada di sana di tempat di mana ikan itu lepas.

Sampailah keduanya di batu itu. Keduanya mendapati seorang hamba soleh sedang berbaring di atas tanah yang hijau tertutup oleh kain, hujungnya di bawah kakinya dan hujung lain di bawah kepalanya.

Nabi Musa langsung memberi salam, "Assalamu'alaikum." Nampaknya daerah itu adalah daerah kafir. Oleh kerananya, hamba soleh tersebut merasa sangat aneh mendengar salam di daerah itu. Dia menjawab, "Dari mana salam di bumiku." Kemudian hamba soleh itu bertanya siapa Nabi Musa. Nabi Musa memperkenalkan diri sekaligus menyampaikan maksud kedatangannya. Dia datang untuk menyertainya dan belajar ilmu yang berguna darinya. 

Hamba soleh itu berkata mengingkari perjalanan Nabi Musa kepada dirinya, "Apa kamu tidak merasa cukup dengan apa yang ada dalam Taurat dan kamu diberi wahyu?"

Kemudian hamba soleh itu menyampaikan bahawa ilmu mereka berdua berbeza, walaupun sumber keduanya adalah satu. Hanya saja, masing-masing mempunyai ilmu yang berbeza yang Allah khususkan untuknya. "Wahai Nabi Musa, sesungguhnya aku mempunyai ilmu yang Allah ajarkan kepadaku yang tidak kamu ketahui. Kamu juga mempunyai ilmu yang Allah ajarkan kepadamu yang tidak Allah ajarkan kepadaku."

Nabi Musa meminta agar dibenarkan untuk menyertainya dan mengikutinya. Dia menjawab, "Kamu tidak akan tahan bersabar bersamaku." Nabi Musa pun berjanji akan sabar dengan izin dan kehendak Allah. Hamba soleh itu mensyaratkan atas Nabi Musa agar tidak bertanya tentang sesuatu sampai dia sendiri yang menjelaskan dan menerangkannya.

Nabi Musa a.s dan Khidhir a.s berjalan di pantai. Keduanya hendak menyeberang ke pantai yang lain, dan mendapati perahu kecil yang akan menyeberangkan para penumpang di antara kedua pantai. Orang-orang  itu mengenali Khidhir, maka mereka menyeberangkannya sekaligus dengan Nabi Musa ke pantai seberang secara percuma. 

Nabi Musa dan Khidhir melihat seekor burung yang hinggap di pinggir perahu. Burung itu mematuk air dari laut sekali, maka Khidhir berkata kepada Nabi Musa, "Demi Allah, ilmumu dan ilmuku dibandingkan dengan ilmu Allah hanyalah seperti yang dipatukkan burung itu dengan paruhnya dari air laut."

Ketika keduanya berada di atas perahu, Nabi Musa dikejutkan oleh Khidhir yang menebuk sebuah papan kayu dari perahu itu dan menancapkan pasak padanya. Nabi Musa lupa akan janjinya, dengan cepat dia mengingkari. Kemusnahan di bumi adalah kejahatan, yang lebih jahat jika dilakukan kepada orang yang mempunyai jasa kepadanya, "Mengapa kamu melubangi perahu itu yang akibatnya kamu menenggelamkan penumpangnya? Sesungguhnya kamu telah berbuat suatu kesalahan besar." [Surah Al-Kahfi : 71]. Di sini Khidhir mengingatkan Nabi Musa akan janjinya, "Bukankah aku telah berkata, 'Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sabar bersama denganku." [Surah Al-Kahfi : 72]. Soalan Nabi Musa yang pertama ini kerana dia lupa, sebagaimana perkara itu dijelaskan oleh Rasulullah S.a.w.

Nabi Musa dan Khidhir terus berjalan. Nabi Musa dikejutkan oleh Khidhir yang menangkap anak kecil yang sihat dan lincah. Khidhir menidurkannya dan menyembelihnya. Di sini Nabi Musa tidak sanggup untuk bersabar terhadap apa yang dilihatnya. Dengan tangkas dia mengingkari, semasa dia menyedari janji yang diputuskannya. "Mengapa kamu membunuh jiwa yang bersih, bukan kerana dia membunuh orang lain? Sesungguhnya kamu telah melakukan sesuatu yang mungkar." [Surah Al-Kahfi : 74] 

Pengingkaran Nabi Musa dijawab oleh hamba soleh itu dengan pengingkaran, "Bukankah sudah aku katakan bahawa sesungguhnya kamu tidak akan dapat bersabar bersamaku?" [Surah Al-Kahfi : 75]

Di sini Nabi Musa berhadapan dengan kenyataan yang sebenarnya, bahawa dia tidak mampu berjalan menyertai laki-laki ini lebih lama lagi. Nabi Musa tidak mampu melihat perbuatan seperti ini dan diam sahaja. Hal ini kembali kepada dua perkara. Pertama, tabiat Nabi Musa. Nabi Musa dengan jiwa kepemimpinan yang dimilikinya sudah terbiasa menimbang segala sesuatu yang dilihatnya. Dia tidak terbiasa diam jika menyaksikan sesuatu yang tidak diredhainya. 

Dan kedua, dalam syariat Nabi Musa a.s, pembunuhan seorang anak adalah suatu kejahatan. Bagaimana mungkin Nabi Musa tidak mengingkarinya, siapa pun pelakunya.

Dalam perkara ini Nabi Musa mengakui kepada hamba soleh tersebut. Nabi Musa memohon kesempatan yang ketiga dan yang terakhir. Jika selepasnya Nabi Musa bertanya lagi, maka dia berhak untuk meninggalkannya.

Keduanya lantas berjalan, hingga tibalah di sebuah desa yang penduduknya kedekut. Nabi Musa dan Khidhir meminta kepada mereka hak tetamu. Mereka berdua hanya mendapati penolakan dari mereka. Walaupun demikian, Khidhir memperbaiki tembok di desa itu yang condong dan hampir roboh. Ini perkara yang aneh. Mereka menolak menerima keduanya sebagai tetamu, tapi hamba soleh ini memperbaiki tembok mereka dengan percuma.

Di sini Nabi Musa memilih berpisah. Hal ini ditunjukkan oleh soalan Nabi Musa kepada hamba soleh tentang alasan dia memperbaiki tembok secara percuma, padahal tembok itu dimiliki oleh kaum yang menolak mereka. 

Seandainya Nabi Musa bersabar menyertai hamba soleh ini, nescaya kita boleh mengetahui banyak keajaiban dan keunikan yang terjadi padanya. Akan tetapi Nabi Musa memilih berpisah setelah hamba soleh ini menerangkan tafsir dari perbuatannya dan rahsia yang terkandung dari perilaku yang dilakukannya. Dan perkara ini dinyatakan dalam surah Al-Kahfi.

Pelajaran-Pelajaran dan Faedah-faedah dari Hadits 

1- Dialog dan berbincang dalam urusan ilmu. Ibnu Abbas berbeza pendapat dengan Hur ibnu Qais tentang nama laki-laki yang dituju oleh Nabi Musa. Apakah dia Khidhir atau bukan, dan keduanya mencari ilmu kepada orang yang mempunyai ilmu. Maka Ubay ibnu Kaab meriwayatkan untuk keduanya dari Rasulullah  S.a.w tentang hadis tersebut yang menunjukkan kebenaran pendapat Ibnu Abbas. 

2- Seorang alim harus menyebarkan ilmunya di antara umat manusia. Lebih-lebih lagi jika ilmu itu merupakan kata putus dalam urusan yang diperselisihkan oleh manusia. Ubay ibnu Kaab meriwayatkan hadits kepada Ibnu Abbas dan Hur ibnu Qais di mana hadits itu menjadi hakim dalam urusan yang mereka perselisihkan. Dan Ibnu Abbas meriwayatkan hadis ini kepada teman-temannya sebagai bantahan kepada Nauf Al-bakali yang mendakwa bahawa sahabat karib Khidhir bukanlah Nabi Musa Bani Israil.

3- Para ulama pewaris para Nabi harus mengambil petunjuk para Nabi dengan mengingatkan manusia kepada Tuhan mereka, membacakan ayat-ayat Allah kepada mereka demi menyucikan jiwa mereka, melembutkan hati mereka hingga menjadi dekat kepada Tuhan mereka, seperti yang dilakukan oleh Nabi Musa dalam nasihatnya. 

4- Keutamaan perjalanan mencari ilmu. Nabi Musa pergi mencari orang yang lebih alim darinya. Keutamaan dan kedudukannya tidak menghalangnya untuk mengikuti orang yang diharapkan dapat mencurahkan ilmu kepadanya. 

5- Anjuran berkhidmat kepada ahli ilmu dan kebaikan. Yusya' berkhidmat kepada Nabi Musa. Anas ibnu Malik berkhidmat kepada Nabi S.a.w.

6- Boleh menyampaikan keletihan dan kelelahan berdasarkan ucapan Nabi Musa, "Sungguh, kita telah merasa letih kerana perjalanan kita ini." [Surah Al-Kahfi : 62]. Sama dengan perkara ini adalah ketika seseorang memberitakan sakit yang dirasakannya, dengan catatan: pemberitaan itu tidak sampai pada tahap kemarahan terhadap takdir.

7- Khidhir hanya mengetahui perkara ghaib yang Allah sampaikan kepadanya. Oleh kerana itu, dia tidak mengetahui nama Nabi Musa sebelum dia bertanya. Khidhir juga tidak mengetahui maksud kedatangan Nabi Musa.

8- Kemampuan Allah menghidupkan yang mati. Dengan kudrat-Nya Dia menghidupkan ikan yang mati. Dan perjalanan ikan di laut mengandungi tanda kekuasaan Allah yang lain, "Lalu ikan itu melompat mengambil jalannya ke laut." [Surah Al-Kahfi : 61]

9- Berlemah lembut kepada pengikut dan pembantu . Pemuda yang menyertai Musa lupa memberitahu Musa tentang ikan yang telah dihidupkan oleh Allah. Ini membuat keduanya melakukan perjalanan lebih panjang dari yang diperlukan, namun Musa tidak menyalahkan dan tidak memarahinya.

10- Tidak semua yang seseorang mengira dapat melakukannya, dia benar-benar dapat melakukannya. Musa berkata kepada hamba soleh, "Insya Allah kamu akan mendapati aku sebagai orang yang sabar dan aku tidak membantah dalam suatu urusan apa pun." [Surah Al Kahfi : 69]. Kemudian, terbuktilah kebenaran dugaan hamba soleh itu, bahawa Musa tidak mampu bersabar.

11- Hamba soleh ini melubangi perahu dan membunuh seorang anak. Dia menyampaikan bahawa apa yang dilakukannya adalah dengan perintah dan kehendak Allah. "Sebagai rahmat dari Tuhanmu, dan bukannya aku melakukan itu menurut kemahuanku sendiri." [Surah Al-Kahfi : 82 ] Oleh kerana itu, tidak dibenarkan bagi siapa pun yang tidak mendapat wahyu dari langit dan tidak menerima sedikit pun ilmu Allah untuk merosakkan, membunuh dan membuat onar, dengan mendakwa bahawa perbuatannya itu mengandungi hikmah yang tersembunyi. Hamba soleh itu bukan pengikut Musa, bukan pula pengikut Muhammad. Jika dia pengikut salah satu dari keduanya, nescaya dia tidak boleh melanggar syariat yang berlaku.

12- Siapa yang bertekad melakukan sesuatu di masa akan datang, hendaknya dia mengucapkan, "Insya Allah." Sebagaimana ucapan Musa, "Insya Allah kamu akan mendapatiku sebagai seorang yang sabar." [Surah. Al-Kahfi : 69] Dan firman-Nya, "Dan janganlah sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu, "Sesungguhnya aku akan melakukannya besok pagi." Kecuali dengan menyebut insya Allah." [Surah Al-Kahfi : 23-24]

13- Di antara adab mencari ilmu adalah, hendaknya murid bersabar dan patuh kepada muallim (guru), "Insya Allah kamu akan mendapatiku sebagai orang yang sabar dan aku tidak akan menentangmu dalam satu urusan pun." [Surah Al-Kahfi : 69]

14- Minimumnya ilmu manusia di hadapan Allah. Hamba shalih itu berkata kepada Musa, "Ilmuku dan ilmumu di depan ilmu Allah hanyalah seperti yang diambil oleh burung itu dari laut."

15- Seorang hamba kadangkala tidak menyedari hikmah di sebalik takdir Allah yang berlaku pada hamba-hamba-Nya. Kemudian, terungkaplah baginya apa yang dia kira sebagai cubaan dan ujian, ternyata adalah kebaikan dan nikmat. Ini sebagaimana yang terjadi pada pemilik perahu, dan kedua orang tua anak yang dibunuh oleh Khidhir.

16- Boleh saja Allah menyediakan kebaikan bagi seorang anak kerana kebaikan bapa. Hamba shalih itu meluruskan dinding demi menjaga kekayaan yang ditinggalkan oleh bapa shalih kepada anak-anaknya.

17- Bersikap sopan kepada Allah dengan menisbahkan kebaikan kepada-Nya, "Maka Tuhanmu menghendaki agar mereka sampai kepada kedewasaannya." [Surah Al-Kahfi : 82] Dan tidak menisbahkan keburukan kepada-Nya. Hamba shalih tersebut menisbahkannya kepada dirinya sendiri, "Dan aku ingin merosakkannya." [Surah Al-Kahfi : 79]. Dan pemuda yang bersama Musa menyandarkan kealpaan kepada syaitan, "Dan tidak ada yang melupakanku untuk menceritakannya kecuali syaitan." [Surah Al-Kahfi : 63]

18- Melakukan sesuatu yang memberi kesan negatif paling ringan demi menghindari perkara yang lebih buruk. Hamba shalih itu merosakkan perahu, untuk menjaga perahu, kerana jika perahu itu dibiarkan tanpa cacat nescaya ia akan dirampas oleh raja yang gemar merampas perahu yang baik.

19- Merosakkan sebahagian harta demi menjaga harta secara keseluruhan. Khidhir merosakkan perahu demi menjaganya, sebagaimana doktor memotong tangan yang sakit kerana dikhuatirkan penyakit itu akan menyebar ke seluruh tubuh pesakitnya.

20- Diperbolehkannya naik perahu, seperti yang dilakukan oleh Musa dan hamba shalih.

21- Anjuran membawa bekal dalam perjalanan. Musa berkata kepada pemuda yang menyertainya, "Siapkan makan siang kita." Jika keduanya tidak membawa makanan, nescaya Musa tidak akan meminta makanan. Sebahagian orang di kalangan umat ini telah mengaku bahawa membawa bekal di perjalanan, khususnya haji, termasuk menafikan tawakkal. Mereka salah, kerana Allah telah meminta pada jamaah haji agar berbekal untuk safar mereka. "Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa. Bertaqwalah kepada-Ku, hai orang-orang yang berakal." [Surah Al-Baqarah : 197]

22- Anjuran mencari makan jika di suatu kota terdapat tempat khusus untuk menjual makanan.

23- Hadits Ahad diterima dalam bidang Aqidah. Lain halnya dengan pendapat yang mengatakan Hadits Ahad tertolak di bidang Aqidah. Ibnu Abbas menerima hadits Ubay bin Kaab yang hanya seorang. Para murid Ibnu Abbas menerima hadits Ibnu Abbas yang hanya seorang, dan berita-berita para Nabi termasuk Aqidah.

24- Kesalahan pendapat yang berkata bahawa Khidhir hidup sampai pada masa kini. Ini adalah pendapat tanpa dalil. Jika Khidhir hidup, nescaya dia pasti datang kepada Rasulullah S.a.w dan mengikutinya. Para ulama besar seperti Ibnul Qayyim, Ibnu Katsir dan Abu Faraj Ibnul Jauzi [1]  telah menyatakan bahawa hadits-hadits yang memberitakan kehidupan Khidhir, tidaklah shahih. Sebahagian penulis banyak menukil kisah-kisah yang menunjukkan hidupnya, Khidhir dan semua kisah itu adalah bathil.

25- Hendaklah seseorang bersikap hati-hati dalam mengingkari orang yang berilmu lagi baik, dengan menanyakan alasan mereka yang diduga menyelisihi kebenaran. Musa melihat perbuatan hamba shalih itu salah, padahal sebenarnya benar.

[Sumber dari kitab Shahih al-Qisas an-Nabawiy - Syeikh Dr. Umar Sulaiman Al-Asyqar]


Nota kaki:

1 - Al-Manarul Munif fi Sahih wal Dha'if, Ibnul Qayyim, 67. Al-Bidayah wan Nihayah, 1/334; Al-Maudu’at, Ibnul Jauzi, 1/197.

0 comments:

Catat Ulasan