Namanya Abu Ja’far Muhammad Bin Jarir bin Yazid bin Katsir bin Ghalib al-Thabari. Beliau dilahirkan di Thabaristan pada tahun 224 H.
Para pengkaji tafsir tentu akrab dengan kitab Tafsir Jami'ul Bayan fi Tafsiril Qur'an atau lebih dikenali sebagai Tafsir at-Thabari. Kitab ini menjadi kitab tafsir terbaik yang dikarang oleh al-Imam al-Hafizh Ibnu Jarir al-Thabari, sang guru besar tafsir.
Kaedah yang digunakan dalam tafsir ini yakni tafsir bi al-ma'tsur yang maksudnya menafsir al-Qur'an dengan al-Qur'an, hadist, dan ijtihad sahabat. Dalam kitab karangan al-Thabari, dia menjelaskan tentang aqidah. Misalnya, makna istiwa dalam al-Baqarah ayat 29. Dijelaskan dengan terang bahawa makna istiwa adalah 'ala wa irtafa', yang ertinya 'ketinggian kerajaan dan kekuasaan Allah', bukan berubahnya ketinggian atau berpindahnya 'Arasy.
Al-Imam As-Suyuthi r.a berkata, "Ia adalah tafsir yang paling baik dan besar, memuatkan pendapat-pendapat ulama, dan sekaligus menguatkan dari pendapat-pendapat itu, dan huraian nahu serta istinbath hukum. Maka dengan kelebihannya, ia menempati kualiti teratas dari kitab-kitab tafsir sebelumnya." [Al-Itqan, 2/190]
Al-Imam An-Nawawi r.a berkata: "Umat Islam sepakat bahawa tidak ada seorang pun yang menulis tafsir sekaliber Tafsir At-Thabari." [Al-Itqan, 2/190].
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah r.a berkata, "Adapun tafsir-tafsir yang ada di tangan manusia, yang paling baik adalah tafsir Ibnu Jarir Ath-Thabari. Ini kerana ia menyebutkan ucapan-ucapan salaf dengan sanad-sanad yang kukuh, tidak mengandungi kebid’ahan, dan tidak menukil dari orang-orang yang diragukan agamanya…" [Fatawa Ibnu Taimiyyah, 2/192]
Tafsir Ath-Thabari boleh dikatakan sebagai tafsir pertama dilihat dari masa penulisan dan penyusunan keilmuannya. Kerana kitab tersebut merupakan tafsir pertama yang sampai kepada kita di saat tafsir-tafsir yang mendahuluinya telah lenyap ditelan putaran zaman sehingga tidak sampai ke tangan kita.
Imam al-Thabari mendapat gelaran marja'ul maraji' (induk para ahli tafsir). Selain sebagai mufassir, al-Thabari juga seorang fuqaha. Kitab fiqhnya yakni berjudul Ikhtilaf al-Fuqaha (perbezaan pendapat para ulama).
Di samping itu, Imam al-Thabari juga merupakan ahli hadits dan sejarah. Beliau sering menolak hadits dengan bertapak lemah ataupun jika hadits tersebut tidak sesuai dengan tafsiran ayat yang dia tafsirkan.
Dalam bidang sejarah, karyanya diabadikan melalui kitab Tarikhul Umam wal Muluk (Sejarah Umat-Umat dan Para Rajanya) dan Tarikh al-Rasul wa al-Muluk yang dikenali dengan Tarikh al-Thabari. Kitab ini menjadi kitab rujukan kerana mengandungi sejarah peristiwa-peristiwa secara lengkap yang belum pernah ditulis sejarawan lain sebelumnya.
Kitab terkenal ini terdiri atas dua bahagian. Bahagian pertama mengandungi tentang sejarah Arab, Parsi, Rom sebelum Islam. Sedang di bahagian kedua pasca-Islam. Kitab ini memberi inspirasi kepada karya Ibnu Asir, sejarawan besar selepas al-Thabari, berjudul al-Kamil fi al-Tarikh.
Kecerdasan dan kecintaan al-Thabari kepada ilmu sudah kelihatan sejak dia kecil. Dia sudah hafaz Al-Quran ketika usia 7 tahun. Pada usianya 8 tahun, dia diarah menjadi imam bagi orang dewasa di daerah kelahirannya iaitu Thabaristan, Parsi, atau sekarang dikenali dengan Iran. Di usia 9 tahun, dia sudah menulis banyak hadits.
Ayahnya pernah bermimpi bahawa Rasulullah S.a.w menghampiri at-Thabari seraya memegang tangannya dan memberikan segenggam batu-batuan padanya, kemudian mimpi tersebut dita’birkan oleh orang-orang alim sebagai petanda keberjayaan at-Thabari dikemudian hari.
Kemudian at-Thabari memulakan pengembaraannya mencari ilmu. Beliau bermula dari Rayy, Iran. Kemudian ke Baghdad, Iraq, untuk menemui Imam Ahmad bin Hanbal. Namun malangnya, Imam Mazhab Hanbali itu telah wafat sebelum al-Thabari sampai ke bandar tersebut (241 H / 855 M).
Al-Thabari meneruskan perjalanannnya ke Wasit dan Basrah untuk mengikuti beberapa kuliah. Kemudian dia ke Kufah untuk mendalami ilmu hadits. Beliau berguru pada ulama besar hadits, Muhammad bin Humaid ar-Razi. Darinya, al-Thabari mampu menulis lebih dari 100 ribu hadits. Beliau juga menuliskan sejumlah hadits yang sama dari gurunya yang lain, Abu Kuwait.
Al-Thabari kembali ke Baghdad untuk belajar ilmu al-Quran dan fiqh, utamanya fiqh Imam Syafie. Di Baghdad inilah karya-karya besarnya berjaya dimunculkan. Konsisten dan ketekunan al-Thabari akan ilmu membuahkan hasil yang hingga kini dimanfaatkan oleh dunia.
Al Faroghi berkata: "Harun bin Abdul Aziz bercerita kepadaku:" Abu Ja’far At Tabari berkata: "aku memilih Mazhab Imam Syafi'e, dan aku ikuti beliau di Baghdad selama 10 tahun."
Imam Adz-Dzahabi berkata: "Beliau adalah orang Tsiqoh, jujur, hafidz, bapa dalam ilmu tafsir, imam (ikutan) dalam ilmu fiqh, ijma’ serta (hal-hal) yang diperselisihkan, alim tentang sejarah dan harian manusia, tahu tentang ilmu Qiro’at dan bahasa, serta yang lainnya.
Imam Ibnu Taimiyah dalam Majmu’ Fatawanya mengatakan bahwa Imam Tabari adalah imam Ahlu Sunnah, hal ini beliau katakan ketika membahas mengenai al-Quran Kalamullah. Dan banyak lagi pujian ulama lainnya.
Pada awalnya, at-Thabari bermazhab Syafi'e. Setelah mempelajari dan meneliti lebih jauh ada ketidak-sesuaian dalam dirinya sehingga dia mendirikan mazhab sendiri, dan pengikutnya memanggilnya Mazhab Jaririyyah. Ianya terjadi setelah sepuluh tahun sekembalinya dari Mesir. Namun, mazhabnya semakin lama semakin kurang pengikutnya kerana ajarannya dianggap bertentangan dengan Mazhab Syafi'e mahupun Hanbali. [Lihat at-Thabari, Tafsir Jami', hlm. 10]
Meskipun dikenali oleh ramai orang, Thabari tetap hidup berbalut kesederhanaan. Bila musim panas tiba, dia hanya mengambil kurma yang dicampur minyak. Tempat tidurnya pun hanya beralaskan kain tipis. Menjadi kebiasaan al-Thabari, selesai Zuhur dia menulis hingga empat puluh halaman. Hal ini dilakukannya selama 40 tahun. Waktu Ashar dia bergegas menuju masjid untuk solat berjemaah kemudian mengkaji al-Qur'an. Lepas solat Maghrib, dia mengajar hingga menjelang Isya '.
Al-Thabari wafat pada tahun 310 H di Baghdad dalam usia 86 tahun.
Rujukan:
1 - Majalah Suara Hidayatullah Edisi III Juli 2013
2 - Eramadina
3 - Tulisan Al-Ustadz Ahmad Hamdani
p/s: Walaubagaimana pun, Imam para ulama Tafsir al-Quran ialah sahabat Nabi S.a.w iaitu Abdullah ibnu Abbas.
0 comments:
Catat Ulasan