Home » » Penyanyi wanita digunakan untuk menghalang dakwah Rasulullah

Penyanyi wanita digunakan untuk menghalang dakwah Rasulullah

Pada Selasa, 4 Mac 2014 | 7:24 PG

Penyanyi wanita
Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ayat 6 Surah Luqman turun berkenaan dengan seorang Quraisy yang membeli seorang biduanita untuk dijadikan sebagai alat menyesatkan manusia. Ayat ini turun sebagai ancaman kepada orang-orang yang berusaha menyesatkan manusia. [1]

Dalam riwayat Ibnu Abbas dinyatakan, Nadhr ibnu Harits membeli ramai penyanyi wanita dari kalangan hamba abdi. Jika dia mendengar ada seseorang tertarik kepada ajaran Nabi Muhamad S.a.w, dia akan menghadiahkan salah seorang penyanyi wanitanya kepada orang itu. Penyanyi wanita tersebut akan melayan urusan makan minum orang itu, menyuapnya dan mendendangkan lagu-lagu untuknya, sehingga orang itu tidak lagi tertarik hati kepada Islam. Tentang hal ini Allah S.w.t berfirman;

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا أُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُهِينٌ

"Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan memperolehi azab yang menghinakan." [Surah Luqman : 6] [2]

Ibnu Mas'ud mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan 'lahwul hadits' (perkataan yang tidak berguna) itu adalah nyanyian. Demikian juga menurut pendapat Ibnu Abbas, Jabir, Ikrimah dan sebagainya.  [3]

Ibnu Jarir Ath-Thabari sendiri mentafsir; pendapat yang betul adalah, Yang dimaksudkan dengannya (perkataan yang tidak berguna) adalah semua perkataan yang melalaikan dari jalan Allah S.w.t dari apa-apa yang dilarang Allah dari mendengarkannya atau apa-apa yang dilarang Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam (dari mendengarkannya), kerana Allah S.w.t menjadikan firmannya (perkataan tidak berguna) umum dan tidak mengkhususkan sebahagian yang satu dari sebahagian yang lain. Oleh kerana itu tetap berlaku umum sehingga datang dalil yang mengkhususkannya. Nyanyian dan syirik termasuk dari itu (perkataan tidak berguna). [4]

Al-Qurthubi menjelaskan dalam tafsirnya; Nyanyian yang dimaksudkan adalah nyanyian yang biasa dinyanyikan menurut orang-orang yang mempopularkannya. Iaitu nyanyian yang menggerakkan nafsu dan membangkitkannya atas hawa dan cumbu rayu dan kelakar (lawak) yang akan menggerakkan yang diam dan mengeluarkan yang tersembunyi (muncul aib-aib). Jenis ini apabila di dalam syair akan mengobarkannya dengan menyebutkan wanita dan sifat-sifat kecantikannya, menyebutkan khamr dan hal-hal yang diharamkan di mana tidak ada beza pendapat tentang keharamannya. Kerana itu adalah sia-sia dan nyanyian adalah tercela dengan kesepakatan. [5]

Maka bagaimana pula dengan ramai penyanyi wanita di zaman ini yang mendendangkan muzik yang biasanya mengghairahkan dengan pakaian seksi, lirik lagu keduniaan dan sebagainya. Bukan kah itu juga dapat membangkitkan hawa nafsu, melalaikan dan menjauhkan manusia dari Allah S.w.t? Ia menyebabkan kita jadi sukar untuk zikrullah atau ingat kepada Allah sentiasa.

Dan bukan dari zaman Nabi Muhammad S.a.w saja berkenaan penyanyi-penyanyi wanita ini, tetapi sejak zaman berzaman lagi, wanita selalu dimanipulasikan untuk membangkitkan ghairah dan nafsu syahwat golongan lelaki, sampailah ke hari ini.

Rasulullah S.a.w bersabda; "Kelak akan ada dari umatku beberapa kaum yang menghalalkan zina, sutera, minuman keras dan alat muzik."  [HR Bukhari dan Abu Daud]

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. Rasulullah S.a.w. bersabda; "Apabila umat ku telah membuat lima belas perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka iaitu;

Apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu.
Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.
Zakat dijadikan hutang.
Suami memperturutkan kehendak isteri.
Anak derhaka terhadap ibunya,
Sedangkan dia berbaik-baik dengan kawannya.
Dia suka menjauhkan diri daripada ayahnya.
Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.
Yang menjadi ketua satu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka.
Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.
Khamr (arak) sudah diminum di merata tempat.
Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki).
Para artis disanjung-sanjung.
Muzik banyak dimainkan.
Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat).

Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau pun mereka akan diubah menjadi makhluk lain."  [HR at-Tirmidzi]


Rujukan:

1 - Lubaabun nuqul fii asbaabin nuzuul - Imam as-Suyuthi
2 - ar-Rahiq al-Makhtum , Sirah Nabi - Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri
3 - Tafsir Ibnu Katsir , Surah Luqman ayat 6
4 - Tafsir at-Thabari
5 - Tafsir al-Qurthubi

0 comments:

Catat Ulasan