Home » » Ayat-ayat Al-Quran yang turun membenarkan ucapan Umar r.a

Ayat-ayat Al-Quran yang turun membenarkan ucapan Umar r.a

Pada Jumaat, 20 Jun 2014 | 7:24 PG

Umar al-Faruq
Maha Suci Allah yang telah menjadikan pendapat Umar al-Khattab r.a untuk kemaslahatan umatnya. Diriwayatkan bahawa setiap kali Umar r.a berpendapat tentang suatu perkara, maka turunlah wahyu yang sesuai dengan pendapatnya itu. [1]

Abdullah ibnu Umar r.a berkata, "Tidaklah manusia berselisih tentang suatu pendapat dan Umar pun menyatakan pendapatnya, melainkan turun Al-Quran untuk menguatkan pendapat Umar." Ali ibnu Abi Thalib r.a berkata, "Sesungguhnya di dalam Al-Quran ada ketetapan yang pada mulanya berasal dari pendapat Umar. [2]

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Umar, dia berkata, "Pendapatku sejalan dengan kehendak Allah dalam tiga perkara. Pertama, aku pernah berkata kepada Rasulullah, "Sebaiknya kita menjadikan maqam Ibrahim sebagai tempat solat." Maka selepas itu turunlah firman Allah, "Dan jadikanlah sebahagian dari Maqam Ibrahim sebagai tempat solat." [Surah al-Baqarah : ayat 125]  Kedua, aku katakan kepada Rasulullah, "Ya Rasulullah, orang-orang yang baik dan buruk perangainya masuk ke rumah isteri-isterimu. Alangkah baiknya jika engkau perintahkan mereka untuk berhijab." Kemudian turunlah ayat hijab. Ketiga, semasa isteri-isteri Rasulullah S.a.w dilanda cemburu maka aku katakan, "Semoga Allah menceraikan kalian semua dan mengganti dengan ister-isteri lain yang lebih baik dari kalian. Lalu turunlah firman Allah yang sesuai dengan pernyataanku tersebut. [3]

Imam Muslim meriwayatkan dari Umar, "Aku memiliki tiga pendapat yang sesuai dengan kehendak Allah, iaitu dalam masalah hijab, masalah tawanan Badar, dan tentang Maqam Ibrahim. [4]

Imam an-Nawawi berkata dalam kitabnya At-Tahdzib, "Al-Quran turun sesuai dengan pendapat Umar dalam masalah tawanan Perang Badar, dalam masalah hijab bagi isteri-isteri Rasulullah, tentang Maqam Ibrahim,  dan tentang pengharaman minuman keras."

An-Nawawi menambah yang kelima iaitu masalah diharamkan khamr (arak). Masalah ini diriwayatkan dalam kitab As-Sunan dan Al-Mustadrak karya al-Hakim. Umar berdoa, "Ya Allah, terangkanlah kepada kami tentang minuman keras dengan sejelas-jelasnya." Kemudian Allah menurunkan firmanNya tentang pengharaman khamr.

Dalam riwayat lain Umar berkata, "Aku memiliki empat pendapat yang sesuai dengan kehendak Allah. Ketika turun firmanNya, "Dan sesungguhnya kami telah mencipta manusia dari saripati yang berasal dari tanah." [Surah al-Mu'minun : ayat 12]  maka aku berkata, "Maha suci Allah, Pencipta yang paling baik." Kemudian turunlah firman Allah, "Maka Mahasuci Allah, Pencipta yang paling baik." [Surah al-Mu'minun : ayat 14]

Umar r.a berkata, "Ketika Abdullah bin Ubay meninggal, Rasulullah S.a.w dijemput untuk mensolatinya. Lalu Rasulullah S.a.w berdiri untuk solat (jenazah). Aku berdiri tepat di hadapan Rasulullah. Aku berkata, "Ya Rasulullah, apakah engkau akan mensolati musuh Allah, Ibnu Ubay yang mengatakan suatu hari begini lalu pada hari yang lain begini?" Demi Allah, tidak lama selepas itu, Allah menurunkan firmanNya, "Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari orang-orang munafiq itu selama-lamanya, dan janganlah engkau berada di (tepi) kuburnya, kerana sesungguhnya mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya, dan mereka mati sedang mereka dalam keadaan fasiq (derhaka)." [Surah at-Taubah : ayat 84]

Diriwayatkan  bahawa ketika Rasulullah S.a.w sering beristighfar bagi suatu kaum, Umar berkata, "Sama saja bagi mereka, sama ada diminta ampun atau tidak." Setelah itu turunlah firman Allah, "Sama saja bagi mereka, sama ada engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun, Allah tidak sekali-kali akan mengampunkan mereka, sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasiq." [Surah al-Munafiqun : ayat 6]

Ketika Rasulullah S.a.w mengadakan mesyuarat dengan para sahabat untuk keluar dalam Perang Badar, Umar memberi nasihat agar Rasulullah S.a.w keluar, kemudian turunlah firman Allah, "Sebagaimana Tuhanmu menyuruhmu pergi dari rumahmu (untuk berperang) dengan kebenaran, sedang sebahagian dari orang-orang yang beriman itu (sebenarnya) tidak suka (turut berjuang)." [Surah al-Anfaal : ayat 5]

Dalam riwayat lain ada menyebutkan, ketika Rasulullah S.a.w meminta pertimbangan para sahabatnya tentang peristiwa "ifki" (peristiwa ketika Aisyah r.a difitnah berhubungan sulit dengan Shafwan ibnu Mu'atthal oleh Abdullah bin Ubay) maka Umar berkata, "Siapa yang menikahkanmu dengan Aisyah, ya Rasulullah?" Rasulullah S.a.w menjawab, "Allah." Umar bertanya, "Apakah kami akan mengira bahawa Tuhanmu akan menipumu dalam perkahwinanmu dengannya? Maha Suci Engkau wahai Tuhan kami, sesungguhnya ini adalah dusta yang besar." Kemudian turunlah ayat, "Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: "Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah)! Ini adalah satu dusta yang besar." [Surah an-Nuur : ayat 16]

Umar r.a pernah menggauli isterinya pada malam hari ketika bangun dari tidurnya. Di masa permulaan Islam, berhubungan badan diharamkan pada malam puasa. Ketika itulah turun firman Allah, "Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Mereka adalah pakaian bagi kamu dan kamu pula adalah pakaian bagi mereka......." [Surah al-Baqarah : ayat 187]

Suatu ketika seorang Yahudi bertemu dengan Umar. Orang Yahudi itu berkata kepada Umar, "Sesungguhnya Jibril yang disebut-sebut oleh sahabatmu (Nabi Muhammad S.a.w) adalah musuh kami." Maka berkata Umar, "Orang-orang yang menjadi musuh Allah, malaikat-malaikat-Nya, rasul-rasul-Nya, Jibril dan Mikail maka sesungguhnya Allah adalah musuh orang-orang kafir." Lalu turunlah ayat yang sesuai dengan ucapan Umar, "Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana Jibril itu menurunkan Al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah......." [Surah al-Baqarah : ayat 97]

"Sesiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintahNya) dan memusuhi malaikat-malaikat-Nya dan Rasul-rasul-Nya, malaikat Jibril dan Mikail, maka sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang kafir." [Surah al-Baqarah : ayat 98]

Dikisahkan bahawa ada 2 orang yang berselisih mengajukan perkara kepada Rasulullah, lalu Rasulullah S.a.w memutuskan perkara yang terjadi di antara keduanya. Lalu orang yang perkaranya telah dikalahkan itu berkata, "Biarlah kami pergi menemui Umar." Lalu Umar bertanya kepada orang tadi, "Apakah memang seperti itu?"  Orang tersebut menjawab, "Ya." Umar berkata, "jika demikian, tunggulah kalian di sini hingga aku keluar kembali menemui kalian." Kemudian, Umar masuk dan kembali kepada mereka dengan membawa pedang di tangannya. Kemudian dia menebas orang yang berkata, "Biarlah kami pergi menemui Umar," sampai orang tersebut mati. Lalu yang kedua kembali pulang dan menemui Rasulullah. Dia berkata, "Ya Rasulullah, Umar telah membunuh sahabatku." Rasulullah S.a.w bersabda, "Aku tidak yakin bahawa Umar telah membunuh seorang mu'min." Maka turunlah ayat, "Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya." [Surah an-Nisaa' : ayat 65]  Maka dari itu, Rasulullah S.a.w memutuskan bahawa darah orang yang dibunuh itu halal dan Umar bebas dari hukuman diatas terbunuhnya orang tersebut.

Kesesuaian lain adalah dalam masalah meminta izin untuk masuk rumah. Al-kisah ketika Umar r.a sedang tidur, seorang pelayannya masuk. Maka kerana itu Umar berdoa, "Ya Allah, haramkanlah seorang masuk rumah tanpa izin." Lalu turunlah ayat tentang kewajipan meminta izin untuk masuk. "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat." [Surah an-Nuur ayat 27]

Kesesuaian lain ialah perkataan Umar mengenai orang-orang Yahudi, "Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang celaka."

Begitu juga dengan firman Allah, "Iaitu sebilangan besar dari orang-orang yang terdahulu. Dan sebilangan besar dari orang-orang yang datang kemudian." [Surah al-Waaqi'ah : ayat 39 - 40]

Juga perkataan Umar pada Perang Uhud ketika Abu Sufyan berkata, "Apakah ada fulan di antara kalian?" Umar berkata, "Kami tidak akan menjawabnya." Rasulullah S.a.w pun sepakat dengan perkataan Umar itu. [5]

Ka'ab Al-Ahbar berkata, "Kecelakaan bagi Raja bumi daripada Raja langit." Umar berkata, "kecuali orang yang melakukan Muhasabah Diri." Ka'ab berkata, "Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya perkataan ini ada dalam Taurat." Kemudian bersujudlah Umar.

Pada mulanya, Bilal r.a mengumandangkan azan, dia berseru, "Asyhadu alla ilaaha illallah, hayya 'alash-shalah." Umar berkata, "Katakan pada bahagian antara dua kalimat itu, "Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah." Rasulullah S.a.w pun bersabda kepada Bilal, "Katakan seperti apa yang dikatakan oleh Umar." [6]


Rujukan:

1 - Riwayat Ibnu Mardawaih, dari Mujahid.
2 - Riwayat Ibnu Asakir.
3 - Riwayat Bukhari dan Muslim, dari Umar.
4 - Riwayat Bukhari dan Muslim.
5 - Riwayat Ahmad dalam Musnadnya.
6 - Riwayat Abdullah ibnu Nafi', dari ayahnya dari Umar.


[Imam as-Suyuthi - Tarikh al-Khulafa']


Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa selepas turunnya ayat hijab, Siti Saudah iaitu isteri kepada Rasulullah S.a.w keluar dari rumah untuk suatu keperluan. Dia adalah seorang wanita yang berbadan tinggi dan besar sehingga mudah untuk dikenal orang. Pada ketika itu, Umar melihatnya dan dia berkata, "Hai Saudah! Demi Allah, bagaimana pun kami akan dapat mengenalimu. Oleh kerana itu, fikirlah mengapa engkau keluar?"  Maka dengan tergesa-gesa dia pulang dan pada ketika itu Rasulullah S.a.w berada di rumah Aisyah sedang memegang tulang waktu makan. Ketika masuk dia berkata, "Ya Rasulullah, aku keluar untuk sesuatu keperluan, dan Umar menegurku kerana dia masih mengenaliku."

Maka turunlah ayat ini;  "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [Surah al-Ahzaab : ayat 59] disebabkan peristiwa itu ketika tulang masih berada di tangan Rasulullah. Maka Rasulullah S.a.w bersabda, "Sesungguhnya Allah telah mengizinkan engkau keluar dari rumah untuk menyempurnakan sesuatu keperluan." [1]

Dalam riwayat lain pula, ada dikemukakan bahawa isteri-isteri Rasulullah S.a.w pernah keluar malam untuk qadha' hajat (buang air). Pada waktu itu, kaum munafiq mengganggu dan menyakiti mereka. Maka perkara ini diadukan kepada Rasulullah hingga Rasulullah menegur kaum munafiq. Mereka menjawab, "Kami hanya mengganggu hamba sahaya." Maka penurunan ayat ini [Surah al-Ahzaab : ayat 59] adalah sebagai perintah untuk berpakaian menutup aurat agar mereka berbeza dari hamba sahaya. [2]


Rujukan:

1 - Riwayat al-Bukhari, dari Aisyah.
2 - Riwayat oleh Ibnu Sa'ad dalam at-Thabaqat, dari Abi Malik. 

[Imam as-Suyuthi - Lubabun nuqul fii asbaabin Nuzuul]

0 comments:

Catat Ulasan