Home » » Khabbab ibnu Al-Art dan penderitaannya kerana Allah

Khabbab ibnu Al-Art dan penderitaannya kerana Allah

Pada Selasa, 3 Jun 2014 | 12:38 PTG

Khabbab ibnu Al-Art ialah seorang sahabat Nabi yang telah banyak berkorban kerana agama yang telah dianutinya. Dia awal-awal lagi telah memeluk agama Islam dan oleh yang demikian penderitaan yang ditanggungnya pun agak lama juga. Dia telah dipaksa memakai baju besi dan disuruh berbaring dipasir, mendedahkan badannya pada panas matahari yang terik hingga kulitnya menggelupas. Khabbab adalah seorang hamba abdi kepada seorang perempuan. Apabila diketahui oleh si perempuan tadi yang dia sering melawat Nabi Muhammad S.a.w kepalanya diselar dengan besi panas yang merah membara.

Umar r.a. semasa beliau menjadi Khalifah telah bertanya kepada Khabbab tentang penderitaannya dikala mula-mula menganut agama Islam dahulu. Sebagai menjawab dia menunjukkan parut-parut luka dibelakang badannya. Kata Umar, "Aku tidak pernah melihat belakang badan yang sedemikian rupa." Melanjutkan ceritanya dia mengatakan yang dia telah diheret di atas suatu timbunan bara api sehingga lemak-lemak dan darah yang mengalir dari badannya memadamkan bara-bara api itu. Apabila agama Islam telah merebak ke merata-rata tempat, Khabbab sering duduk menangis sambil berkata: "Nampaknya Allah S.w.t. sedang memberi ganjaran bagi segala penderitaan yang kita alami. Mungkin di akhirat nanti tidak ada ganjaran yang bakal kita terima."

Khabbab bercerita:

"Pada suatu hari Rasulullah S.a.w. telah mengimami kami dalam sembahyang. Rasulullah S.a.w telah memanjangkan suatu rakaat. Di akhir sembahyang itu kami bertanya tentang rakaat yang panjang tadi. Rasulullah S.a.w menjawab: "Saya telah membuat tiga permintaan kepada Allah S.w.t.. Saya berdoa: "Ya Allah, janganlah hendaknya ummatku mati kerana kebuluran, janganlah hendaknya ummatku dihapuskan oleh musuh dan janganlah hendaknya mereka berkelahi sesama mereka."  "Allah S.w.t telah menunaikan hanya dua permintaanku yang pertama."

Khabbab r.a telah meninggal dunia apabila usianya meningkat tiga puluh tujuh tahun. Dia merupakan sahabat yang pertama sekali dikebumikan di Kufah. Pada suatu ketika apabila Ali r.a. melalui pusaranya beliau pun berkata: "Moga-moga Allah S.w.t. memberkati dan melimpahkan rahmatNya ke atas Khabbab. Dia telah memeluk Islam dengan segala senang hati dan telah menumpukan segala tenaganya semasa dia hidup untuk berusaha di jalan Allah, walaupun dengan berbuat demikian dia menderita kesusahan. Berbahagialah orang yang sentiasa mengingati hari Kiamat, yang sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi perhitungan di Akhirat nanti, yang berpuas hati dengan hidup berdikit-dikit di dunia ini dan yang perbuatannya mendatangkan keredhaan Tuhan."

Keredhaan Allah S.w.t lah yang menjadi matlamat tunggal perjuangan hidup para sahabat semuanya. Semoga kita semua juga akan mendapat keredhaan Allah S.w.t, amin.

[Hayaatus Shahabah - Syeikh Muhammad Yusuf al-Kandhlawi]

0 comments:

Catat Ulasan