Home » » Kisah dua ribu orang Khawarij bertaubat di zaman Khalifah Ali bin Abi Thalib

Kisah dua ribu orang Khawarij bertaubat di zaman Khalifah Ali bin Abi Thalib

Pada Rabu, 7 Januari 2015 | 8:13 PG

Askar Arab berkuda
"Bermujadalah lah (berhujjah) dengan mereka dengan cara yang sebaik-baiknya." [Surah an-Nahl : ayat 125]

Shahabat-shahabat r.a juga selalu mengemukakan alasan-alasan menghadapi orang-orang yang engkar itu dan melakukan perdebatan. Tetapi itu ketika diperlukan. Dan pada masa mereka, keperluan untuk itu sedikit sekali. Dan orang pertama yang membuat tradisi mengajak orang-orang yang berbuat bid'ah kepada kebenaran dengan perdebatan, ialah Ali bin Abi Thalib r.a, ketika Ali mengutus Ibnu Abbas r.a menjumpai orang Khawarij dan mengadakan pertukaran fikiran dengan mereka. 

Bertanya Ibnu Abbas r.a kepada orang Khawarij itu, "mengapakah kamu mencaci Imam mu?"

Menjawab Khawarij itu, "Dia berperang dan dia tidak mengambil tawanan dan harta rampasan."

Maka membalas Ibnu Abbas, "Cara yang demikian, kalau berperang dengan kafir. Apakah pendapatmu kalau Aisyah r.a ditawan pada hari Perang Jamal? Lalu sebagai tawanan, Aisyah r.a itu termasuk dalam bahagian salah seorang dari kamu. Apakah kamu menganggap halal dia sebagaimana kamu menganggap halal dengan hamba-hamba wanita-mu yang lain? Padahal dia ibu-mu menurut penegasan Al-Quran?"

Maka puak Khawarij itu menjawab, "Tidak!" Dengan mujadalah yang dilakukan oleh Ibnu Abbas r.a, maka kembali-lah mentaati Ali r.a sebanyak 2 ribu orang dari puak Khawarij.

Tambahan

Diceritakan bahawa Al-Hasan r.a berdebat dengan seorang Qadariyyah. Dengan perdebatan itu, orang Qadariyah tadi menarik diri dari fahaman Qadariyyah. Ali bin Abi Thalib r.a pernah berdebat dengan seorang Qadariyyah. Abdullah bin Mas'ud pernah berdebat dengan Yazid bin 'Umairah mengenai keimanan. 

Berkata Abdullah, "Kalau engkau mengatakan aku mu'min, maka engkau mengatakan aku dalam syurga."

Menjawab Yazid bin 'Umairah, "Hai sahabat Rasul! Itu adalah suatu kesilapan daripadamu. Bukankah iman itu iaitu percaya kepada Allah, kepada malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, percaya kepada kebangkitan, kepada timbangan amal, mendirikan shalat, berpuasa dan mengeluarkan zakat? Kita mempunyai banyak dosa. Kalau kita ketahui dosa itu diampunkan Tuhan, maka tahulah kita bahawa kita ini dari penduduk syurga. Dari itu, kita mengatakan bahawa kita orang mu'min dan tidak kita mengatakan bahawa kita dari penduduk syurga."

Maka menjawab Ibnu Mas'ud, "Benar engkau. Sebenarnya ucapan tadi adalah kesilapanku sendiri."

Maka sewajarnyalah dikatakan, bahawa para shahabat itu menceburkan diri ke dalam perdebatan adalah sedikit sahaja, tidak banyak, pendek sahaja, tidak panjang dan ketika diperlukan sahaja. Tidak dengan jalan mengarang, mengajar dan membuatnya sebagai perbuatan mencari rezeki.

Maka dapat ditegaskan bahawa sedikitnya para shahabat menceburkan diri dalam perdebatan, adalah kerana kurang diperlukan. Sebab tidak ada bid'ah yang timbul pada masa itu.

Mengenai singkatnya perdebatan yang dilakukan mereka adalah tujuannya menginsafkan lawan, memberi pengertian, menyingkapkan kebenaran dan menghilangkan keraguan. Kalau lawan itu memanjangkan persoalan atau penentangan, maka sudah pasti perdebatan itu menjadi lama. Dan tidak lah para shahabat itu dapat menaksir dengan timbangan dan sukatan, berapa lama diperlukan perdebatan itu bila telah menceburkan diri ke dalamnya.

[Imam al-Ghazali - Ihya' Ulumuddin, jilid 1, kitab Qawa'id al-'Aqa-id, hal. 346 - 347]


Keperluan berdebat mungkin lebih pada zaman ini kerana zaman ini berlaku terlalu banyak bid'ah termasuk kita sekali pun terlibat (tak perlu hanya tuding jari pada orang lain sahaja, kita pun sama). Masing-masing perlu ada kesedaran dan usaha untuk sama-sama membaiki diri kita dan masyarakat, bukannya dengan mengapi-apikan kebencian dan sentiasa menyalahkan orang lain sedangkan kita lupa diri kita.   Allah sangat marah orang yang kuat bertengkar.

Apa lagi sesama Muslim iaitu saudara kita sendiri. Bertengkar dan berkelahi mengikut nafsu memang SYOK sebenarnya, apa lagi dapat melepaskan marah dan rasa puas hati. Kalau dapat pukul-memukul, belasah-membelasah pun lagi syok. Tetapi hakikatnya, jiwa kita tunduk pada syaitan ketika itu, makin rosak binasa diri dan umat. Fikiran sudah jadi tidak waras dan sentiasa dahagakan mangsa seterusnya, hingga ada yang sampai dahagakan darah, wal 'iyaadzu billah.

Wallpaper Islamik kata-kata hikmah

Wallahu a'lam ....... :-)



p/s: Jika ada persoalan yang anda keliru atau tidak faham, sila ajukan soalan kepada ustaz-ustaz atau ulama di masjid atau pejabat yang berhampiran tempat anda. "… bertanyalah kepada Ahli Zikr (Ulama) jika kamu tidak mengetahui." [Surah An-Nahl : 43]

0 comments:

Catat Ulasan