Home » » Kisah Minuman Keras dan Judi mula diharamkan dalam Islam

Kisah Minuman Keras dan Judi mula diharamkan dalam Islam

Pada Rabu, 7 Januari 2015 | 8:16 PG

Bekas-bekas lama
"Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai khamr (arak) dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya terdapat dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya," dan mereka bertanya pula kepadamu: "Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)?" Katakanlah: "Yang lebih dari keperluan (kamu)." Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir." [Surah al-Baqarah : ayat 219]

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Khalaf ibnu Walid, telah menceritakan kepada kami Israil, dari Abu Ishaq, dari Abu Maisarah, dari Umar yang menceritakan hadits berikut;

Bahawa ketika ayat pengharaman arak diturunkan, Umar berkata, "Ya Allah, berilah kami penjelasan mengenai arak ini dengan penjelasan yang memuaskan." Maka turunlah firman-Nya;

"Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai khamr (arak) dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya terdapat dosa besar  [al-Baqarah : ayat 219] 

Lalu Umar dipanggil dan dibacakan kepadanya ayat ini. Maka dia mengatakan, "Ya Allah, berilah kami penjelasan mengenai arak ini dengan penjelasan yang memuaskan." Kemudian turunlah ayat yang ada dalam Surah an-Nisaa', iaitu;

"Wahai orang-orang yang beriman, jangan-lah kalian mendekati shalat, sedangkan kalian dalam keadaan mabuk." [An-Nisaa' : 43]

Tersebutlah bahawa juru azan Rasulullah S.a.w apabila mahu mendirikan shalat selalu menyeru, "Orang yang mabuk tidak boleh mendekati shalat!" Kemudian Umar dipanggil lagi dan dibacakan kepadanya ayat tersebut. Maka Umar berkata, "Ya Allah, berilah kami penjelasan mengenai arak ini dengan penjelasan yang lebih memuaskan lagi." Lalu turunlah ayat yang ada dalam Surah al-Maidah. Ketika bacaan ayat sampai pada firman-Nya;

"....... maka berhentilah kalian (dari mengerjakan pekerjaan itu)." [Al-Maidah : 91]

maka Umar berkata, "Kami telah berhenti, kami telah berhenti."

Demikianlah menurut riwayat Imam Abu Daud, Imam at-Turmudzi, Imam an-Nasa-i melalui berbagai jalur dari Israil, dari Abu Ishaq.

Firman Allah S.w.t; "....... Katakanlah: "Pada keduanya terdapat dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia." [al-Baqarah : 219]

Adapun mengenai dosa kedua perbuatan tersebut berdasarkan peraturan agama, sedangkan manfaat keduniawian-nya jika dipandang sebagai suatu manfaat. Maka manfaatnya terhadap tubuh ialah mencernakan makanan, mengeluarkan angin, dan mengumpulkan sebahagian lemak serta rasa mabuk yang memusingkan.

Termasuk manfaatnya juga memperjual-belikan dan memanfaatkan hasilnya. Sedangkan manfaat judi ialah kemenangan yang dihasilkan oleh sebahagian orang yang terlibat di dalamnya, maka dari hasil itu dia dapat membelanjakan-nya buat dirinya sendiri dan keluarganya.

Akan tetapi, manfaat dan kemaslahatan tersebut tidaklah dapat dibandingkan dengan mudarat dan kerosakan-nya yang jauh lebih besar daripada manfaatnya, kerana kerosakan-nya berkaitan dengan akal dan agama, seperti yang disebutkan oleh firman-Nya;

"....... tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya......." [al-Baqarah : 219]

[Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, surah al-Baqarah, ayat 219]


"Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamr, berjudi (maisir), (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaithan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. Sesungguhnya syaithan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamr dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan shalat, maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu)." [Surah Al-Maidah : 90 - 91]

Telah disebutkan dalam sebuah riwayat dari Ali bin Abi Thalib r.a bahawa dia pernah mengatakan catur itu termasuk maisir (judi). Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad telah menaskan keharaman-nya, tetapi Imam Syafi'e menghukuminya makruh.

Ad-Dhahak telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa "maisir" ialah judi yang biasa dipakai untuk pertaruhan di masa jahiliyah hingga kedatangan Islam. Maka Allah melarang mereka melakukan perbuatan-perbuatan yang buruk itu.

Malik telah meriwayatkan dari Daud ibnul Husain, bahawa dia pernah mendengar Sa'id ibnul Musayab berkata, "Dahulu maisir yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah ialah menukar daging dengan seekor kambing atau dua ekor kambing."

Az-Zuhri telah meriwayatkan dari Al-A'raj yang mengatakan bahawa maisir ialah mengundi dengan anak panah yang pertaruhan-nya berupa harta dan buah-buahan.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Syuraih, telah menceritakan kepada kami Abu Ma'syar, dari Abu Wahb maula Abu Hurairah, dari Abu Hurairah r.a yang mengatakan bahawa khamr diharamkan sebanyak 3 kali. Pertama, ketika Rasulullah S.a.w tiba di Madinah, sedangkan mereka dalam keadaan masih minum khamr dan makan dari hasil judi, lalu mereka bertanyakan tentang kedua perbuatan itu kepada Rasulullah S.a.w. Maka Allah S.w.t menurunkan firman-Nya;

"Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai khamr (arak) dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya terdapat dosa besar."  [al-Baqarah : ayat 219] hingga akhir ayat.

Maka orang ramai mengatakan bahawa Allah tidak mengharamkan-nya kepada kita, kerana yang disebutkan-Nya hanyalah;

"Pada keduanya terdapat dosa besar."  [al-Baqarah : ayat 219]

Kebiasaan minum khamr diteruskan di kalangan mereka,, hingga pada suatu hari seorang lelaki dari kalangan Muhajirin shalat menjadi imam kepada teman-teman-nya, iaitu Shalat Maghrib. Lalu dalam qiraah (pembacaan)nya dia merewang (fikiran melayang-layang), maka Allah S.w.t menurunkan ayat yang lebih keras daripada ayat pertama, iaitu firman-Nya;

"Wahai orang-orang yang beriman, jangan-lah kalian mendekati shalat, sedangkan kalian dalam keadaan mabuk." [An-Nisaa' : 43]

Tetapi ramai orang masih tetap meminum khamr, hingga seorang dari mereka mengerjakan shalat dalam keadaan mabuk. Kemudian turunlah ayat yang lebih keras dari ayat sebelum-nya, iaitu firman-Nya;

"Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamr, berjudi (maisir), (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaithan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan." [Surah Al-Maidah : 90]

Maka barulah mereka mengatakan, "Wahai Tuhan kami, kini kami berhenti."

Di dalam kitab Shahihain disebutkan dari Umar ibnu al-Khattab r.a yang di dalam khutbah-nya di atas mimbar Rasulullah S.a.w mengatakan, "Wahai manusia, sesungguhnya telah diturunkan pengharaman khamr. Khamr itu dibuat dari lima jenis, iaitu dari buah anggur, kurma, madu, gandum dan barli. Dan khamr merupakan minuman yang menutupi akal (memabukkan)."

Imam Bukhari mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ishaq ibnu Ibrahim, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Bisyr, telah menceritakan kepada kami Abdul Aziz ibnu Umar ibnu Abdul Aziz, telah menceritakan kepadaku Nafi', dari Ibnu Umar r.a yang mengatakan bahawa, ketika ayat pengharaman khamr diturunkan, ketika itu di Madinah terdapat lima jenis minuman, tetapi tidak ada minuman yang dibuat dari anggur.

Hadits yang lain diriwayatkan oleh Imam Ahmad, telah menceritakan kepada kami Qutaibah ibnu Sa'id, telah menceritakan kepada kami Ibnu Luhai'ah, dari Sulaiman ibnu Abdur Rahman, dari Nafi' ibnu Kaisan, ayahnya pernah menceritakan kepadanya bahawa dahulu di masa Rasulullah S.a.w, ayahnya pernah menjual khamr. Ketika tiba dari negeri Syam, dia membaca khamr dalam kantung-kantung kulitnya dengan tujuan untuk dijual. Lalu dia datang dengan membawa khamr itu kepada Rasulullah S.a.w dan berkata kepadanya, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku datang kepadamu dengan membawa minuman yang baik." Maka Rasulullah S.a.w bersabda, "Wahai Kaisan, sesungguhnya khamr itu telah diharamkan selepasmu." Kaisan berkata, "Wahai Rasulullah, bagaimana kalau aku menjualnya?" Rasulullah S.a.w bersabda;

"Sesungguhnya khamr telah diharamkan,  dan haram jugalah hasil jualan-nya."

Maka Kaisan pergi menuju ke kantung-kantung kulit yang berisikan khamr itu. Dia pegang bahagian bawahnya, lalu semua isinya dia tumpahkan.

Hadits lain yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Sa'id, dari Humaid, dari Anas yang menceritakan bahawa dia pernah menghidangkan minuman khamr kepada Abu Ubaidah ibnu al-Jarrah, Ubay ibnu Ka'ab, Suhail ibnu Baida dan sejumlah orang dari kalangan sahabat di rumah Abu Thalhah, sehingga memabukkan sebahagian dari mereka. Lalu datanglah seorang dari kalangan Muslimin memberitakan, "Tidak-kah kalian ketahui bahawa khamr itu telah diharamkan?" Mereka menjawab, "Akan kami lihat dan kami tanyakan." Mereka mengatakan, "Wahai Anas, tumpahkan-lah khamr yang masih tinggal pada wadahmu itu!"  Anas mengatakan, "Demi Allah, mereka tidak meminum khamr lagi. Apa yang mereka minum hanyalah perahan anggur,  buah kurmah yang belum masak benar,  dan buah kurma yang sudah masak, semuanya itu merupakan khamar mereka pada ketika itu."

Imam Bukhari dan Imam Muslim mengenengahkan hadits ini dalam kitab Shahihain melalui berbagai jalur dari Anas. 

Di dalam riwayat Hammad ibnu Zaid, dari Tsabit, dari Anas disebutkan bahawa Anas pernah menghidangkan minuman khamr di rumah Abu Thalhah kepada sejumlah orang,  iaitu pada hari khamr diharamkan. Minuman yang mereka minum hanyalah perahan anggur, perahan kurma basah, dan perahan kurma masak. Tiba-tiba ada seorang yang menyeru satu seruan. Lalu Anas berkata, "Keluar dan lihatlah apa yang diserunya." Tiba-tiba seorang penyeru mengatakan bahawa sesungguhnya khamr telah diharamkan. Anas mengatakan, "Maka aku tumpahkan khamr yang baki itu di jalan Madinah."

Anas mengatakan bahawa Abu Thalhah berkata kepadanya, "Keluarlah kamu dan tumpahkan-lah khamr ini." Maka aku menumpahkan kesemuanya. Mereka atau sebahagian dari mereka mengatakan bahawa si anu dan si anu telah mati, sedangkan khamr berada dalam perutnya. Maka Allah menurunkan firman-Nya;

"Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal shaleh kerana memakan makanan yang telah mereka makan dahulu." [al-Maidah : 93] hingga akhir ayat.

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Basyar, telah menceritakan kepadaku Abdul Kabir ibnu Abdul Majid, telah menceritakan kepada kami Abbad ibnu Rasyid, dari Qatadah, dari Anas ibnu Malik yang mengatakan, "Ketika aku sedang menghidangkan minuman khamr kepada Abu Thalhah, Abu Ubaidah ibnul Jarrah, Abu Dujanah, Mu'adz ibnu Jabal, dan Suhail ibnu Baida hingga kepala mereka tertunduk (mabuk) - minuman itu campuran kurma basah dan kurma masak - aku mendengar seseorang menyeru bahawa sesungguhnya khamr telah diharamkan."

Anas ibnu Malik melanjutkan kisahnya, "Setelah itu tiada seorang pun dari kami yang masuk dan yang keluar hingga kami tumpahkan minuman khamr dan memecahkan semua bekasnya. Kemudian sebahagian dari kami ada yang berwudhu', ada pula yang mandi, lalu memakai wangian milik Ummu Sulaim. Setelah itu kami keluar menuju masjid. Tiba-tiba kami dapati Rasulullah S.a.w sedang membacakan firman-Nya;

"Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamr, berjudi (maisir), (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaithan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan." [Surah Al-Maidah : 90]

sampai kepada firman-Nya;

"....... maka berhentilah kalian (dari mengerjakan pekerjaan itu)." [Al-Maidah : 91]

[Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, surah al-Maidah, ayat 90 - 91]


Maka semua permainan yang memicu terjadinya permusuhan dan saling membenci di antara pemain, serta menghalangi orang untuk mengingati Allah dan melaksanakan shalat, maka statusnya seperti minum khamr, sehingga berstatus haram, seperti minum khamr. [Tafsir al-Qurthubi, 6 : 291]



Wallahu a'lam ....... :-)

0 comments:

Catat Ulasan