Home » » Kisah Khalifah Umar meronda malam dan ternampak orang Minum Arak dalam sebuah rumah

Kisah Khalifah Umar meronda malam dan ternampak orang Minum Arak dalam sebuah rumah

Pada Rabu, 7 Januari 2015 | 8:18 PG

Khat Umar ibnu al-KhattabDari Abdur Rahman ibnu 'Auf r.a, dia berkata, "Aku keluar bersama Umar r.a pada suatu malam di Madinah. Di waktu kami sedang berjalan, tiba-tiba nampaklah kepada kami sebuah cahaya pelita. Lalu kami berjalan menuju kepadanya.

Maka tatkala kami telah dekat ke tempat itu, tiba-tiba melihat pintu terkunci, di dalam-nya ramai orang dengan suara keras dan hiruk-pikuk. Maka Umar r.a memegang tanganku dan berkata, "Tahukah kamu rumah siapakah ini?"

Aku menjawab, "Tidak."

Maka Umar r.a menjawab, "Inilah rumah Rabi'ah bin Umayyah bin Khalf. Mereka itu sekarang sedang minum khamr (arak). Apa pendapatmu?"

Aku menjawab, "Aku berpendapat, bahawa kita telah berbuat apa yang dilarang oleh Allah. Allah Ta'ala berfirman;

وَلَا تَجَسَّسُوا 

"....... dan janganlah mengintip (mencari-cari) keburukan orang ......." [Surah al-Hujurat : ayat 12]

Maka kembalilah Umar r.a dan meninggalkan mereka itu di situ. Ini menunjukkan wajibnya menutupi keburukan orang dan meninggalkan dari mengikutinya. Nabi S.a.w bersabda kepada Mu'awwiyah;

"Sesungguhnya jika engkau mengikuti (memerhatikan dengan menyelidiki) akan aurat (hal yang memalukan) manusia, nescaya engkau telah merosakkan mereka atau hampirlah engkau berbuat kerosakan kepada mereka." [HR Abu Daud, dengan sanad Shahih dari Mu'awwiyah]

Nabi S.a.w bersabda, "Wahai orang-orang yang beriman dengan lidahnya dan iman itu tidak masuk ke dalam hatinya! Janganlah kamu mengumpat orang Muslim! Dan janganlah kamu mengikuti aurat (hal-hal yang memalukan) mereka! Sesungguhnya barangsiapa mengikuti aurat saudaranya Muslim, nescaya diikuti Allah akan auratnya. Dan barangsiapa diikuti Allah akan auratnya, nescaya Dia membuka kekejian-nya, walaupun orang itu berada di tengah-tengah rumahnya." [HR Abu Daud, dari Abi Barzah dengan sanad Hasan]


(Dalam riwayat lain pula,) diriwayatkan bahawa Umar r.a meronda di malam hari di Madinah, lalu beliau mendengar suara seorang lelaki pada sebuah rumah menyanyi-nyanyi. Maka beliau panjat dinding rumah itu. Lalu beliau dapati di samping lelaki tadi seorang wanita. Dan pada sisi lelaki tersebut ada khamr (arak). Maka Umar r.a berkata, "Hai musuh Allah! Adakah kamu menyangka, bahawa Allah menutupi akan kesalahan engkau dan engkau berbuat maksiat kepada-Nya?"

Lelaki itu menjawab, "Dan engkau wahai Amirul Mukminin, janganlah terburu-buru menuduh! Sesungguhnya aku telah berbuat maksiat kepada Allah, satu maksiat. Dan sesungguhnya engkau telah berbuat maksiat kepada Allah, mengenai aku, tiga maksiat.

Allah Ta'ala berfirman;

وَلَا تَجَسَّسُوا 

"....... dan janganlah mengintip (mencari-cari) keburukan orang ......." [Surah al-Hujurat : ayat 12]  Dan engkau telah mencari-cari (tajassus) keburukan aku. Allah Ta'ala berfirman;

"Dan tidak-lah ada kebaikan-nya bagimu masuk rumah dari belakangnya." [al-Baqarah : ayat 189]  Dan engkau telah memanjat dinding terhadap diriku. Dan Allah Ta'ala berfirman;

"Janganlah kamu masuk ke dalam rumah yang bukan rumahmu, sebelum minta izin dan memberi salam kepada orang yang di dalam-nya." [Surah an-Nuur : ayat 27]  Dan engkau telah masuk ke rumah-ku tanpa izin dan salam."

Maka Umar r.a bertanya, "Adakah padamu kebaikan, kalau aku maafkan engkau?"

Orang itu menjawab, "Ada! Demi Allah, wahai Amirul Mukminin! Jika engkau maafkan kesalahan-ku, nescaya tidak akan aku kembali lagi kepada perbuatan yang seperti ini, untuk selama-lamanya. Maka Umar r.a memaafkan-nya dan beliau keluar meninggalkan orang itu.

[Imam al-Ghazali - Ihya' Ulumuddin, kitab Halal dan Haram]


Yang wajib dicegah ialah maksiat yang terang-terangan tanpa segan silu. Ini untuk mengelakkan dari tercemarnya imej Islam dan menular kerana menjadi ikutan oleh orang lain pula. Lagi pun, antara dosa yang tidak layak diampunkan oleh Allah S.w.t ialah dosa seorang "mujahir" (orang yang melakukan maksiat terang-terangan).

Dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa aku telah mendengar Rasulullah S.A.W telah bersabda: "Semua umatku layak diberi keampunan kecuali mereka yang melakukan dosa secara terang-terangan. Ini termasuklah orang yang melakukan dosa pada suatu malam dan kemudiannya pada waktu pagi walaupun Allah telah menutup dosanya (dan tidak menampakkannya kepada orang ramai) dia berkata: Wahai fulan! Malam tadi aku telah melakukan (dosa) itu dan ini. Padahal dia menghabiskan malam dalam keadaan Tuhannya menutupinya tetapi di pagi hari menampakkan apa yang Allah S.W.T tutup (pada malam itu)." [HR al-Bukhari]

Sedangkan orang yang melakukan maksiat secara tersembunyi, walaupun dia terlepas di dunia, tetapi dia tidak akan terlepas di akhirat, kerana Allah Maha Melihat dan Maha Mendengar, para malaikat-Nya pun ada di mana-mana, ditambah lagi tangan, kaki dan anggota badan kita sendiri pun nanti akan menjadi saksi di akhirat, di atas perbuatan kita di dunia ini.  Wallahu a'lam .......



0 comments:

Catat Ulasan